DAP hormati keputusan rakyat Negeri Sembilan, janji kembali bangkit - Gobind Singh

SHAH ALAM - DAP menghormati keputusan rakyat yang memilih kerajaan baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dengan menyaksikan Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas dua penggal mentadbir.

Pengerusinya, Gobind Singh Deo berkata, parti juga mengambil maklum kekalahan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke di Chennah, meskipun telah bekerja dengan cemerlang sepanjang tiga penggal berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan berkenaan.

"DAP pernah menghadapi cabaran dan kekalahan sebelum ini. Mesej daripada para pengundi adalah jelas. Kami mesti dan akan membuat penilaian menyeluruh terhadap keputusan ini, mendengar dengan teliti keluhan serta kebimbangan rakyat dan bekerja keras untuk mendapatkan semula keyakinan serta sokongan mereka.

"Kami menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat dan mengucapkan tahniah kepada mereka yang telah dipilih untuk membentuk kerajaan Negeri Sembilan yang baharu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Sabtu secara rasmi mengumumkan Barisan Nasional (BN) memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri berkenaan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, Pakatan Harapan pula menang 11 kerusi dan Perikatan Nasional tujuh kerusi.

Keputusan itu juga menyaksikan pentadbiran PH di negeri beradat itu tumbang selepas dua penggal memegang tampuk kepimpinan di Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, parti menerima kekalahan tersebut dengan rendah diri dan berterima kepada rakyat yang mengundi DAP.

Ujarnya, parti juga mengucapkan terima kasih kepada semua calon, ahli, sukarelawan dan jentera yang telah memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang kempen berlangsung.

Beliau dalam masa sama berharap kerajaan baharu yang dipilih memerintah dengan bertanggungjawab dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.