SEREMBAN – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan soal penggunaan nama baharu bagi kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bukan keutamaan, sebaliknya yang lebih penting ialah semangat perpaduan antara parti-parti yang terlibat.
Menurut beliau, kejayaan kerjasama kedua-dua gabungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan membuktikan persefahaman politik lebih penting daripada penjenamaan.
"Tak perlu nama, ada apa pada nama. Yang penting ialah kita bekerja dalam perpaduan. Itu yang sangat penting," katanya ketika ditemui selepas menghadiri program bersama pimpinan dan jentera di Kompleks Pas Negeri Sembilan (KOMPAS) di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, langkah pertama yang perlu diperkukuhkan ialah penyatuan dalam kalangan parti-parti Melayu-Islam sebelum kerjasama itu diperluaskan bersama rakan-rakan bukan Islam.
Menurutnya, pembahagian kerusi antara BN dan PN di Negeri Sembilan berjalan lancar tanpa sebarang pertikaian, sekali gus membolehkan jentera kedua-dua gabungan bergerak sebagai satu pasukan sepanjang kempen.
"Walaupun kita berdepan pelbagai cabaran, termasuk suasana pilihan raya yang tidak seimbang, kita tetap berjaya menarik sokongan rakyat. Saya percaya kejayaan ini berlaku dengan izin ALLAH hasil perpaduan dalam kalangan pimpinan semua parti yang terlibat," katanya.
Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi berkata, soal pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan diputuskan oleh kepimpinan gabungan dan tidak menimbulkan sebarang perselisihan antara parti.
Mengulas kemungkinan formula kerjasama BN-PN di Negeri Sembilan diteruskan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, beliau berkata, perkara itu bergantung kepada landskap politik negeri berkenaan dan akan diputuskan berdasarkan perkembangan serta situasi setempat.