SEREMBAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan gabungan itu kekal menganggap dirinya sebagai underdog dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan biarpun terdapat pelbagai ramalan yang menyebelahi BN.
Menurut beliau, pendirian itu penting bagi memastikan seluruh kepimpinan dan jentera parti terus bekerja keras sehingga tamat tempoh berkempen tanpa bersikap terlalu yakin.
"Saya fikir kita memang underdog dalam keadaan ini dan kita tidak mahu memperlihatkan bahawa kita terlalu yakin (overconfident).
"Kita yakin dengan apa yang sedang dilakukan, namun pendekatan sebagai underdog penting supaya kita tidak terlepas pandang mana-mana kumpulan sasaran walaupun sekecil mana sekalipun," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pekebun Kecil RISDA Peringkat Zon Tengah 2026 di Hotel Royale Chulan, di sini pada Selasa.
Zahid berkata, pendekatan tersebut juga menjadi peringatan kepada pemimpin serta jentera parti supaya sentiasa berdisiplin sepanjang tempoh berkempen.
Menurutnya, semua pihak perlu mengelakkan kenyataan yang boleh menjejaskan keyakinan pengundi terhadap BN.
Beliau turut merayu rakyat Negeri Sembilan memberi peluang kepada BN untuk mentadbir semula negeri itu bagi melaksanakan agenda pembangunan yang ditawarkan menerusi manifesto.
Katanya, antara komitmen utama ialah menyediakan 50,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun selain memperkasakan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
"Saya sendiri akan membantu dari segi penyediaan latihan TVET supaya pekerjaan bergaji premium dapat diwujudkan di Negeri Sembilan.
"Di peringkat Kerajaan Persekutuan pula, lapan menteri daripada BN akan membantu pembangunan Negeri Sembilan sekiranya rakyat memberikan mandat kepada calon-calon BN," katanya.
Mengulas ramalan penganalisis politik bahawa BN mampu memenangi 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Zahid berkata, gabungan itu tidak mahu terlalu memberi perhatian kepada sebarang ramalan, sebaliknya memilih untuk terus bekerja.
"Kita terus bekerja kerana kita adalah underdog. Kelebihan tentunya berpihak kepada gabungan yang sedang memerintah negeri.
"Sebab itu kami bekerja dengan penuh rendah diri dan terus menyantuni rakyat sehingga hari pengundian," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau merakamkan penghargaan kepada pengundi awal yang telah menunaikan tanggungjawab masing-masing apabila kadar keluar mengundi direkodkan melebihi 88 peratus.
Menurutnya, kadar tersebut menunjukkan perkembangan positif dan diharap dapat diteruskan pada hari pengundian Sabtu ini.
"Saya mengucapkan tahniah kepada para pengundi awal. Jika momentum ini dapat diteruskan pada hari pengundian nanti, ia merupakan satu trend yang amat baik untuk demokrasi negara," katanya.
Beliau turut meminta seluruh jentera BN meneruskan usaha menyantuni pengundi sepanjang baki tiga hari tempoh berkempen, selain menghargai bantuan jentera dari pelbagai negeri yang turun membantu kempen di Negeri Sembilan.
Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang mencadangkan Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai calon Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-16, Zahid enggan mengulas panjang.
"Saya rasa itu satu cerita yang baik dan mungkin satu usaha yang sangat disanjung oleh parti berkenaan. Kita ucapkan selamat berjaya kepada cita-cita besar Datuk Seri Saifuddin Abdullah itu," katanya.