SHAH ALAM - Kontroversi ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa berbaur perkauman dijangka terus dimainkan sehingga hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos 2026, khususnya dalam beberapa hari terakhir kempen.
Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ini kerana isu perkauman mempunyai nilai emosi dan mudah disebarkan melalui klip video pendek serta media sosial.
Menurutnya, ia lebih cepat menarik perhatian berbanding perbahasan tentang angka pelaburan, pembangunan negeri atau dasar ekonomi.
"Secara keseluruhan, saya tidak melihat isu ini sahaja akan mencetuskan gelombang besar di seluruh Negeri Sembilan.
"Namun, ia boleh menghasilkan perubahan kecil sekitar satu hingga tiga mata peratusan dalam kalangan pengundi atas pagar atau mempengaruhi kadar keluar mengundi.
"Dalam kerusi marginal, perubahan sekecil itu sudah cukup untuk menentukan kemenangan," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Awang Azman, dalam kalangan pengundi bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina dan India, kesannya berpotensi lebih besar.
Jelasnya, isu ini boleh meningkatkan rasa bimbang terhadap bentuk politik yang akan dibawa oleh kerjasama BN-PN.
"Kesannya mungkin bukan semata-mata pertukaran sokongan, tetapi juga peningkatan motivasi untuk keluar mengundi bagi menghalang calon yang dikaitkan dengan retorik sedemikian.
"Bagi pengundi Melayu sederhana dan pengundi atas pagar, kenyataan itu boleh menimbulkan ketidakselesaan, terutama dalam kalangan profesional, pengundi bandar dan separa bandar yang mahu kestabilan serta politik yang kurang konfrontatif.
"Kelompok ini mungkin melihat BN atau PH sebagai pilihan lebih selamat.Naratif bahawa ucapan Sanusi telah dimanipulasi boleh menimbulkan solidariti dan mengukuhkan lagi sokongan sedia ada," ujar beliau.