SHAH ALAM – Tiga pemimpin daripada parti politik berbeza bakal berhujah di pentas Berani Semuka Sinar Harian bagi membahaskan persoalan sama ada politik negara semakin matang atau sekadar mencetuskan lebih banyak polemik.
Program bertajuk 'Seteru Jadi Kawan, Kawan Jadi Seteru: Politik Matang atau Huru-Hara' itu akan bersiaran secara langsung dari Studio F Sinar Harian, Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, di sini pada Selasa, jam 8.30 malam.
UMNO menampilkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Datuk Razlan Rafii, manakala Parti Amanah Negara (Amanah) diwakili Ketua Pemuda, Hasbie Muda manakala Parti Wawasan Negara (Wawasan) diwakili Ketua Penerangan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Timbalan Pengarang Berita (Digital) Sinar Harian, Mohd Fazli Zainul Abidin berkata, Berani Semuka Sinar Harian ialah segmen perbincangan merentasi parti politik tanpa didominasi oleh mana-mana pihak secara mutlak.
Menurutnya, pemilihan topik kali ini di luar kebiasaan kerana pihaknya menampilkan tiga ahli politik untuk menyampaikan hujah ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sedang berlangsung.
“Inilah dimensi politik baharu yang menyaksikan semua ahli politik boleh duduk berbincang bagi mengetengahkan ideologi parti serta pandangan masing-masing untuk menarik perhatian pengundi, khususnya di Negeri Sembilan.
“Jadi, inilah perspektif yang dibawakan oleh Sinar Harian dan seperti biasa, kami sebagai platform media yang bebas serta tidak memihak akan terus memberikan kelainan dan pilihan kepada pembaca.
“Insya-ALLAH, kami akan terus memperbanyakkan wacana ilmiah sebegini agar suasana politik negara sentiasa segar dengan idea-idea baharu demi kebaikan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Konsep Berani Semuka edisi kali ini cukup istimewa kerana diadakan sempena ulang tahun ke-20 Sinar Harian.
Ini bukan kali pertama Sinar Harian menganjurkan segmen sedemikian yang membabitkan tokoh politik negara memandangkan nama-nama besar seperti Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk Seri Rafizi Ramli pernah berhujah di platform sama pada 2022.
Pada 2023, Berani Semuka turut menampilkan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden bersama Hasbie Muda bagi membahaskan topik 'Survival Ekonomi: Rakyat Lega atau Terhimpit'.
Pada tahun sama, program turut membawakan Abbas Azmi yang ketika itu calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang dan Dr Afif Bahardin, yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan mewakili Perikatan Nasional.