Calon DHPP di Lobak bukti Pas perluas pendekatan rentas kaum - Najihatussalehah

SEREMBAN - Keputusan meletakkan calon daripada Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lobak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 adalah langkah strategik Pas untuk memperluaskan pengaruh parti, khususnya dalam kalangan masyarakat bukan Melayu.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, pencalonan itu bukan sekadar bertujuan memenangi pilihan raya, sebaliknya merupakan usaha jangka panjang bagi memperkenalkan pendekatan Pas, memperkukuh khidmat kepada masyarakat serta membina kekuatan di kawasan yang sebelum ini kurang diterokai.

Beliau berkata, dalam PRN kali ini, Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan 11 calon di Negeri Sembilan, termasuk lima calon Pas yang bertanding di DUN Serting, Lobak, Ampangan, Paroi dan Bagan Pinang.

Menurutnya, berdasarkan keputusan PRN Negeri Sembilan ke-15, PN meletakkan sasaran untuk memenangi antara lima hingga lapan kerusi dengan mempertahankan kubu sedia ada serta berusaha menambah kemenangan di beberapa kerusi marginal.

"PN perlu mengekalkan kemenangan di Paroi, Bagan Pinang, Serting, Gemas dan Labu selain berusaha menembusi kerusi seperti Klawang, Ampangan dan Sikamat.

"Keyakinan itu bukan dibuat tanpa asas, sebaliknya bergantung kepada kemampuan mempertahankan kerusi sedia ada, memperkukuh jentera serta memanfaatkan potensi di kawasan yang mencatatkan majoriti tipis," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun, beliau mengakui DUN Lobak merupakan antara kerusi paling mencabar buat PN berdasarkan pola sokongan pengundi pada pilihan raya lalu.

Katanya, daripada 23,079 pengundi berdaftar di DUN itu, pengundi Melayu hanya sekitar 1,027 orang atau 4.45 peratus.

Pada PRN ke-15, penyandang daripada Pakatan Harapan (PH)-DAP, Chew Seh Yong, memenangi kerusi itu dengan majoriti 13,504 undi selepas memperoleh 14,357 undi berbanding 853 undi diraih calon PN.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pas tidak melihat pencalonan di Lobak semata-mata berdasarkan peluang kemenangan, sebaliknya sebagai usaha membina asas sokongan dalam jangka panjang.

PRN kali ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon PN-Pas daripada DHPP, P. M. Kumar, dengan penyandang, Chew Seh Yong.

Menurut Najihatussalehah, walaupun Chew memiliki kelebihan sebagai penyandang dan disokong organisasi parti yang telah lama bertapak di kawasan itu namun Kumar menawarkan pengalaman berbeza menerusi penglibatan dalam bidang hartanah, insurans serta pelbagai aktiviti kebajikan dan kesukarelawanan sejak 2003.

Beliau berkata, Kumar yang kini Ketua DHPP Negeri Sembilan turut pernah terlibat dengan pertubuhan kebajikan insan istimewa, Jabatan Sukarelawan Malaysia, pasukan kecemasan, rumah kebajikan kanak-kanak serta program sukarelawan hospital.

"Pengalaman itu menjadikan Kumar seorang calon yang memahami kepentingan pendekatan rentas kaum, kebajikan dan hubungan langsung dengan masyarakat," katanya.

Najihatussalehah berkata, walaupun kemenangan di Lobak disifatkan sukar berdasarkan komposisi pengundi dan keputusan lalu, peningkatan jumlah undi berbanding PRN terdahulu boleh dianggap sebagai perkembangan positif dalam usaha meningkatkan penerimaan terhadap Pas dalam kalangan masyarakat bukan Melayu.

Beliau berkata, kejayaan di Lobak juga tidak seharusnya diukur semata-mata melalui kemenangan kerusi, sebaliknya berdasarkan keupayaan parti membina jaringan masyarakat, meningkatkan keyakinan pengundi serta menarik lebih ramai pendukung daripada pelbagai kaum.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan pencalonan Kumar membuktikan Pas membuka ruang kepada kepimpinan bukan Islam menerusi DHPP dan memperlihatkan komitmen parti untuk mendekati masyarakat pelbagai kaum.

Mengulas kerjasama politik, beliau berkata, PRN Negeri Sembilan turut menjadi medan menguji keberkesanan penyelarasan antara PN dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, sekiranya kerjasama itu berjaya dilaksanakan secara tersusun dan berasaskan matlamat bersama, ia berpotensi menjadi asas kepada perbincangan yang lebih meluas di peringkat nasional.

Beliau menegaskan, Pas akan terus berusaha membina kekuatan di Lobak walaupun berdepan cabaran besar kerana setiap usaha mendekati masyarakat dilihat sebagai pelaburan politik untuk masa depan.