'Kalau dah pilih rumah sebelah, jangan pegang kunci rumah lama' - Mahfuz

ALOR SETAR – Pendirian Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyatakan kesediaan melepaskan jawatan sekiranya diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipersoalkan dan sepatutnya dibuat atas prinsip sendiri.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, mengapa perlu menunggu arahan jika prinsip sendiri menunjukkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan sudah tidak lagi dihormati.

Menurutnya, Kerajaan Perpaduan dibentuk atas asas persefahaman, kepercayaan dan tanggungjawab bersama. Namun, tindakan Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan pihak yang menjadi lawan kepada Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan mengundang persoalan.

“Dalam budaya kita, kalau sudah memilih rumah sebelah, jangan lagi mahu memegang kunci rumah yang ditinggalkan.

“Begitu juga dalam politik. Tidak wajar pada siang hari menikmati tanggungjawab dan kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi pada malam hari bekerjasama dengan pihak yang berkempen untuk melemahkan kerajaan yang sama,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Ahad, media melaporkan Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan beliau tidak keberatan melepaskan jawatan dalam Kabinet sekiranya ada arahan daripada Perdana Menteri untuk berbuat demikian.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada dalam kalangan pemimpin BN yang memburukkan Kerajaan Perpaduan sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan setakat ini.

Jelas Mahfuz, tindakan memegang jawatan dalam kerajaan sambil menjalin kerjasama politik dengan pihak yang menentang kerajaan yang sama disifatkan tidak selari dengan prinsip yang dipertahankan.

Menurutnya, Perdana Menteri tidak wajar dijadikan pihak yang menanggung beban terhadap keputusan politik yang dibuat oleh mana-mana parti.

"Jangan jadikan Perdana Menteri sebagai 'penyapu' untuk membersihkan kekotoran politik UMNO atau BN yang dibuat sendiri,” ujarnya.

Tambah beliau, isu yang dibangkitkan bukan berpunca daripada rasa marah atau dendam, sebaliknya berkaitan dengan integriti politik dan keberanian seseorang pemimpin mempertahankan prinsip yang diyakini.

Katanya, seseorang pemimpin tidak seharusnya menunggu arahan untuk melepaskan jawatan sekiranya merasakan prinsip perjuangan sudah tidak lagi seiring dengan kedudukan yang disandang.

"Jawatan bukan amanah jika hanya dilepaskan selepas disuruh. Amanah ialah apabila kita tahu bila prinsip sudah tidak lagi seiring dengan kedudukan," katanya lagi.