Hamzah cadang kerjasama PN-BN guna nama PBN

TAMPIN – Kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dicadangkan menggunakan nama Perikatan Barisan Nasional (PBN).

Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penggunaan nama tersebut bertujuan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat berhubung kerjasama kedua-dua gabungan politik berkenaan.

Menurutnya, sebutan PN-BN mungkin menyukarkan sesetengah pihak, sekali gus menyebabkan nama PBN dilihat lebih ringkas dan mudah difahami pengundi.

“Kita mahu namakan supaya orang tidak keliru lagi. Kita di Negeri Sembilan bermula dengan Perikatan Barisan Nasional (PBN). Ramai orang susah menyebut PN-BN, jadi PBN sahaja. Namun, perkara paling penting bukan nama itu, tetapi jiwa kebersamaan kita dalam menentukan masa depan Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Ceramah Perdana Pengenalan Calon BN-PN Parlimen Tampin di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Bukit Rokan, di sini, malam Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Ada sesuatu yang tak kena dalam Kerajaan Perpaduan' - KJ

'Kerjasama UMNO, Pas mampu bentuk Kerajaan Selangor' - Noh Omar

'Selepas Johor, parti Rafizi akan dimalukan lagi di Melaka' - Penganalisis

'Menggelupur sangat bila kita nak bersatu' - Akmal Saleh bidas AMK

PH tawar manifesto yang bukan sekadar janji - Aminuddin

SPR keluar 13,263 kertas undi pos bagi PRN Negeri Sembilan

Tiada arahan letak jawatan, hanya kekalkan disiplin dan profesionalisme - Fahmi Fadzil

25+11 belum tentu 36

'Jurang melebar tapi belum retak'

PRN Negeri Sembilan: Gandingan Anwar, Aminuddin serlah kekuatan sebenar PH - Penganalisis

Turut hadir, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengerusi BN Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa.

Hamzah berkata, gabungan berkenaan boleh menggunakan apa juga nama, namun kesepakatan antara parti-parti terlibat perlu menjadi keutamaan dalam usaha membentuk kerajaan baharu di negeri itu.

Katanya, PBN akan membawa ‘gelombang biru’ bagi berdepan ‘gelombang merah’ yang dikaitkan dengan Pakatan Harapan (PH).

“Kita boleh namakan apa sekalipun. Gelombang yang kita nampak hari ini lebih jelas, iaitu gelombang biru menentang gelombang merah.

“Sekiranya biru menjadi pilihan majoriti rakyat, insya-Allah kita akan mengambil alih kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa PN sejak awal bersetuju supaya BN menerajui gabungan dan kerajaan negeri sekiranya PBN memperoleh mandat rakyat.

“Kami dalam PN bersetuju dari awal lagi supaya BN menerajuinya bersama-sama kami di Negeri Sembilan. Tidak ada masalah langsung sekiranya kita boleh bermuafakat seperti ini,” jelasnya.

Menurut Hamzah, pertemuan antara pemimpin gabungan itu diadakan lebih awal bagi menyelesaikan sebarang perasaan kecewa, perselisihan atau masalah yang pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, perkara itu perlu diselesaikan segera supaya seluruh jentera PBN dapat memberikan tumpuan kepada gerak kerja pilihan raya dan mendekati pengundi.

“Manusia mempunyai perasaan. Kadang-kadang ada perasaan kecewa dan masalah yang berlaku dahulu.

“Kita boleh menyelesaikannya apabila bertemu. Pertemuan ini dilakukan pada peringkat awal supaya selepas ini kita boleh turun dan bekerja keras,” katanya.

Tambahnya, setiap jentera perlu memastikan pengundi memahami perancangan PBN untuk masa depan rakyat Negeri Sembilan.

“Sekiranya kita dapat menjatuhkan kerajaan lama PH dan menggantikannya dengan kerajaan baharu PBN, ia akan memberikan rasa lebih selesa kepada rakyat seluruh negara.

“Gabungan ini boleh menunjukkan bahawa apa sahaja rasa tidak puas hati boleh diselesaikan melalui sistem demokrasi. Rakyat yang akan menentukan,” katanya.

Bagaimanapun, Hamzah berkata, cadangan penggunaan nama PBN itu masih baharu dan akan dibincangkan bersama pemimpin parti-parti yang terlibat.

“Ini baru saya keluarkan hari ini. Saya akan berjumpa dengan rakan-rakan kita dan melihat bagaimana selepas ini,” katanya.