KUALA LUMPUR - Berbeza dengan Negeri Johor yang telah menjadi kubu kuat UMNO sejak sekian lama, Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dijangka memperlihatkan kekuatan sebenar Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bergandingan dengan Menteri Besar (MB), Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Rashdan Sallehuddin berkata, kesinambungan pentadbiran PH di Negeri Sembilan serta prestasi cemerlang MB antara kekuatan yang perlu dipertahankan dan diteruskan pada masa depan.
Katanya, faktor hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan antara faktor penting dalam memastikan lebih banyak limpahan manfaat dan ekonomi dapat disalur dan dijanakan untuk rakyat Negeri Sembilan.
"Berbeza dengan landskap politik di Johor, PH masih mempunyai pengaruh yang sukar dipandang ringan berdasarkan keputusan pilihan raya sebelum ini di Negeri Sembilan.
"Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PH membentuk kerajaan di Negeri Sembilan selepas memenangi 20 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Para pengundi di Negeri Sembilan akan lebih bijak untuk menilai prestasi kerajaan Madani, sejajar dengan prestasi ekonomi negara dan nilai ringgit yang semakin meningkat di bawah Perdana Menteri yang semakin popular," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke berkata, PH menetapkan sasaran menang sekurang-kurangnya 23 daripada 36 kerusi pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos ini untuk memperoleh mandat lebih besar dan membentuk kerajaan negeri yang stabil.
Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, gabungan itu kini memiliki 17 kerusi DUN dan memerlukan sekurang-kurangnya 19 kerusi untuk memperoleh majoriti mudah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa mandat lebih besar diperlukan bagi memastikan pentadbiran yang stabil.
Dalam pada itu, Mohd Rashdan berkata, adalah tidak adil untuk kita menyamakan Johor dengan Negeri Sembilan kerana Johor di bawah UMNO sebagai Menteri Besar manakala Negeri Sembilan diterajui oleh seorang Menteri Besar dari PH yang terbukti menjalankan khidmat yang cemerlang tanpa sebarang skandal atau penyelewengan meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Beliau berkata, pelbagai bentuk perubahan telah dibawa oleh Aminudin kepada rakyat di negeri itu menjadi kekuatan PH untuk memenangi mandat rakyat.
"Banyak perubahan serta peningkatan dari segi ekonomi, pelaburan, pembangunan dan kutipan zakat sepanjang lapan tahun beliau mentadbir negeri ini.
"Maka usaha ini perlu diteruskan agar kesejahteraan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat di negeri ini.
"Lebih dari itu, pengundi Negeri Sembilan juga akan lebih terbuka untuk memberikan undi berdasarkan kepada prestasi Anwar dan PH yang terbukti menjadi kerajaan negeri yang efektif dan membawa suara berbilang bangsa," katanya.