KOTA BHARU – Pas menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) Mengenai Masa Depan Pendidikan Malaysia dengan menyifatkan insiden yang berulang di sekolah bukan lagi kes terpencil, sebaliknya petanda negara sedang berdepan krisis sistemik dalam sistem pendidikan.
Naib Presiden yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, negara tidak boleh terus bergantung kepada pendekatan reaktif yang hanya memberi tumpuan kepada siasatan, pengeluaran pekeliling baharu atau tindakan disiplin setiap kali tragedi berlaku.
Menurut beliau, selepas hampir 40 tahun pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), sudah tiba masanya satu penilaian menyeluruh dilakukan bagi menilai keberkesanannya dalam melahirkan insan yang seimbang.
"Perlu dipersoalkan bukan lagi sejauh mana kita bertindak selepas tragedi berlaku, tetapi sejauh mana sistem pendidikan negara benar-benar berjaya membentuk manusia.
"Apabila insiden demi insiden terus berulang, kerajaan perlu melihat isu ini sebagai krisis sistemik dan bukannya sekadar kes terpencil," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohd Amar memberitahu, Pas mengemukakan empat tuntutan utama kepada Kerajaan Persekutuan bagi memperkukuh sistem pendidikan negara.
Ujarnya, tuntutan pertama ialah penubuhan RCI Mengenai Masa Depan Pendidikan Malaysia bagi mengkaji semula falsafah, struktur, tadbir urus dan hala tuju pendidikan negara, selain merangka Pelan Induk Pendidikan Nasional untuk beberapa dekad akan datang.
Tambah beliau, Pas turut mencadangkan Dasar Pendidikan Rabbani dijadikan kerangka dasar pendidikan nasional bagi memperkukuh pelaksanaan FPK dengan memberi penekanan kepada pembinaan insan, adab, integriti, kesejahteraan mental, kepimpinan dan tanggungjawab sosial.
"Selain itu, Pas menggesa kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Keselamatan dan Kesejahteraan Murid di peringkat kebangsaan untuk menyelaras dasar, membangunkan sistem amaran awal serta memantau risiko keselamatan di sekolah.
"Kami juga mencadangkan pelaksanaan Indeks Sekolah Rabbani sebagai instrumen penilaian nasional yang mengukur kecemerlangan sekolah bukan sahaja berdasarkan pencapaian akademik, tetapi turut mengambil kira aspek keselamatan, kesejahteraan murid, akhlak, integriti, kepimpinan serta penglibatan ibu bapa dan komuniti," katanya.
Menurut beliau, kejayaan sesebuah sistem pendidikan tidak seharusnya diukur berdasarkan bilangan pelajar memperoleh keputusan cemerlang semata-mata, sebaliknya sejauh mana sekolah berjaya melahirkan insan yang beriman, berakhlak, berdisiplin, mempunyai empati serta mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Tegasnya, Malaysia memerlukan reformasi yang mengembalikan pembentukan insan sebagai matlamat utama pendidikan negara dan bukannya sekadar menukar kurikulum, peperiksaan atau istilah pentadbiran.