'Perbezaan politik bukan alasan label rakyat sebagai pendatang' - DAP Melaka

MELAKA - Mencari akar keturunan bukan bermaksud tidak setia kepada Malaysia, sebaliknya ia adalah usaha untuk mengenali sejarah keluarga, menghormati nenek moyang dan mewariskan budaya kepada generasi akan datang.

Demikian kata Ahli Parlimen Kota Melaka merangkap Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong menerusi hantaran di Facebooknya.

Menurutnya, perbezaan politik tidak boleh dijadikan alasan untuk mempersoalkan kedudukan seseorang sebagai rakyat Malaysia.

"Walaupun nenek moyang kita berasal dari tempat yang berbeza (tetapi) kita dilahirkan, dibesarkan dan menetap di bumi Malaysia.

"Kita belajar, bekerja, membayar cukai serta bersama-sama membangunkan negara ini," menurut hantaran itu.

Katanya, identiti rakyat negara ini tetap jelas iaitu sebagai rakyat Malaysia.

"Oleh itu, sebarang kenyataan yang melabelkan mana-mana warganegara sebagai 'pendatang' hanya kerana mereka tidak menyokong sesebuah parti politik mesti dikecam dengan tegas.

"Hak untuk memilih dan menyokong mana-mana parti ialah hak demokrasi setiap rakyat. Perbezaan pandangan politik tidak boleh dijadikan alasan untuk mempersoalkan kedudukan seseorang sebagai rakyat Malaysia," ujarnya.

Beliau berkata, Malaysia yang kini hampir mencapai 70 tahun kemerdekaan dibina hasil usaha dan pengorbanan rakyat daripada pelbagai kaum dan agama.

"Kita bukan pendatang. Kita rakyat Malaysia. Malaysia ialah tanah air kita bersama," katanya.