'Jangan tengok pada umur, tapi pada kerja' - Leevineshwaraan

PORT DICKSON– Calon termuda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, M. Leevineshwaraan, 23, berharap pengundi menilai kemampuan dan khidmatnya kepada masyarakat, bukannya pada usia.

Beliau yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung berkata, walaupun masih muda, beliau sudah hampir dua tahun aktif menjalankan kerja-kerja kebajikan di kawasan berkenaan.

"Jangan tengok umur, tapi tengok kerja saya. Sudah hampir dua tahun saya aktif membantu masyarakat.

"Saya juga anak jati Sri Tanjung dan memahami keperluan penduduk di sini," katanya ditemui bertemu masyarakat di DUN Sri Tanjung di sini pada Ahad.

Leevineshwaraan yang berdepan saingan lima penjuru berkata, minatnya terhadap politik lahir daripada penglibatan bapanya dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan di Port Dickson sejak tujuh tahun lalu.

Ujarnya, dari situ dia mula menyedari bahawa dengan adanya kuasa, seorang itu akan lebih berkeupayaan membantu masyarakat.

"Bila selalu ikut ayah buat kerja amal, saya nampak banyak lagi perkara yang boleh dilakukan sekiranya mempunyai kuasa sebagai wakil rakyat.

"Sebagai peniaga, saya mampu memberi sumbangan barang runcit dan keperluan lain, tapi saya tak mampu membantu mereka mendapatkan rumah misalnya kerana saya tiada kuasa," katanya.

Leevineshwaraan yang menyertai Bersatu kira-kira setahun setengah lalu turut mengakui yakin mampu memberi saingan walaupun berdepan calon yang lebih berpengalaman.

"Bila saya diberi kepercayaan oleh parti menjadi calon, saya menerimanya dengan hati terbuka kerana ini peluang untuknya berkhidmat kepada masyarakat.

"Saya bertanding secara 'gentleman'. Mereka ada cara mereka, saya ada cara saya. Kalau ada rezeki saya menang, saya akan terus berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Mengulas perancangannya sekiranya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), beliau yang merupakan Ketua Bersekutu Bersatu Port Dickson berkata, aspek pendidikan akan menjadi antara keutamaan dengan menyediakan bantuan kelengkapan persekolahan kepada pelajar yang memerlukan.

Justeru beliau berharap pengundi di DUN Sri Tanjung memberi peluang kepada calon muda sepertinya untuk membuktikan kemampuan berkhidmat kepada masyarakat.

Leevineshwaraan dijangka berdepan cabaran getir apabila menentang penyandang kerusi berkenaan, Datuk Dr G. Rajasekaran daripada Pakatan Harapan (PH) yang memenangi kawasan itu pada pilihan raya lepas dengan majoriti 3,996 undi.

Tiga lagi pencabarnya iaitu A. Achuthan(BN) dan dua calon (Bebas) iaitu Datuk A. Saravanan dan Islah Wahyudi Zainuddin.