PRN Negeri Sembilan: Aminuddin pilih kempen skala kecil dekati pengundi

PORT DICKSON - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau lebih memilih corak kempen yang berskala kecil bagi membolehkannya memahami keperluan masyarakat setempat.

Beliau yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 mewakili Pakatan Harapan (PH) berkata, pendekatan itu telah dilakukan sejak 2008 bagi membolehkannya berinteraksi dengan lebih berkesan selain memberi keselesaan kepada pengundi.

**media[3587687]**

"Saya lebih suka bergerak secara bersendirian atau bersama pasukan kecil berbanding perarakan yang ramai kerana cara itu memberikan ruang yang lebih peribadi untuk berinteraksi.

"Kasihan kepada pengundi, mereka mahu berjumpa dengan calon itu sendiri, bukan mahu melihat kehadiran orang yang terlalu ramai sehingga menimbulkan rasa tidak selesa atau mengganggu ketenteraman mereka," katanya kepada pemberita selepas menyantuni masyarakat India di sekitar DUN Linggi di sini pada Ahad.

Pada program itu, Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan turut bertembung dengan penyandang kerusi berkenaan daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Faizal Ramli yang turut mengadakan kempen di kawasan sama. 

Mengulas mengenai penerimaan masyarakat India, Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR negeri berkata, sokongan yang diterimanya amat positif walaupun DUN Linggi secara tradisinya adalah kubu kuat BN.

Aminuddin, 59, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau perlu bekerja keras untuk memikat hati setiap pengundi di DUN Linggi.

"Saya kekal optimis dan yakin masyarakat di DUN Linggi akan menterjemahkan sokongan yang baik ini dalam bentuk undi kepada PH pada hari pengundian nanti," katanya.

Pada PRN kali ini, Aminuddin dicabar Mohd Faizal, 54, dan Zamri Md Said, 54, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

DUN Linggi yang terletak di bahagian selatan Negeri Sembilan mempunyai sebanyak 20,677 pengundi berdaftar merangkumi 18,420 pengundi biasa, manakala 2,222 anggota tentera dan pasangan serta 35 anggota polis sebagai pengundi awal.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh pengundian, manakala undi awal pada 28 Julai ini. - Bernama