SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencabar Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, membuktikan prinsip politiknya dengan meminta menteri dan timbalan menteri daripada parti itu meletakkan jawatan susulan kerjasama terbuka dengan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, UMNO tidak sepatutnya terus berada dalam kerajaan sambil menyerang pentadbiran yang dianggotainya sendiri.
Beliau turut mencabar UMNO Selangor supaya menyatakan pendirian dengan jelas dan berundur secara terhormat.
“Jangan menyerang kerajaan pada siang hari, tetapi masih mahu menikmati jawatan dan kuasa pada waktu malam.
“Kalau benar UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Pas sudah cukup kuat serta mempunyai angka, keluarlah daripada Kerajaan Madani dengan bermaruah,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, rakyat kini dapat melihat dengan jelas perkembangan hubungan politik antara UMNO dan Pas di Johor serta Negeri Sembilan.
“Kalau UMNO sudah memilih Pas sebagai pasangan politik, jangan lagi berlindung di bawah payung Kerajaan Madani di Putrajaya dan Kerajaan Negeri Selangor.
“Pilih satu, jangan siang berkempen bersama Pas untuk menjatuhkan Pakatan Harapan (PH), tetapi pada waktu malam masih menikmati jawatan hasil kerjasama dengan PH.
“Itu bukan prinsip. Itu hipokrasi politik,” tambah beliau.
Beliau turut mendakwa UMNO mempunyai budaya politik yang sanggup menggugat kerajaan yang disertainya sendiri demi percaturan kuasa.
Katanya, parti seperti Parti Warisan dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal mempertahankan kestabilan kerajaan yang dibentuk bersama dan hanya bertanding secara terbuka apabila tiba medan demokrasi.
“UMNO pula mahu bermain di semua gelanggang, mahu menjadi kerajaan di Putrajaya, mahu menjadi kerajaan di Selangor, dan pada masa yang sama mahu menjalinkan 'nikah tidak berkadi' dengan Pas demi menjatuhkan PH.
“Dr Akmal, kalau benar bercakap soal maruah dan prinsip, mulakan dengan parti sendiri,” katanya.
Tambah beliau, UMNO digesa membuktikan keikhlasan terhadap prinsip politik yang sering dilaungkan.
“Kalau hati sudah bersama Pas, keluarlah daripada Kerajaan Madani dengan bermaruah.
“Jangan jadi musang berbulu ayam, jangan pegang kuasa di sebelah tangan, tetapi mengasah pisau untuk menikam rakan sendiri dengan tangan yang satu lagi,” katanya.
Terdahulu, Muhamad Akmal mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggugurkan semua menteri dan timbalan menteri daripada mana-mana parti yang bertanding menentang PH.
Katanya, tindakan itu tidak seharusnya dikenakan terhadap BN sahaja, sebaliknya perlu turut melibatkan Parti Warisan dan GPS sekiranya parti-parti berkenaan menetapkan prinsip sedemikian.