PRN Negeri Sembilan: Manivannan fokus peluang pekerjaan di Jeram Padang

JEMPOL – Berbekalkan pengalaman hampir dua dekad dalam politik, calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G Manivannan mempertaruhkan pengalaman itu untuk membawa perubahan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, usaha menyelesaikan isu peluang pekerjaan, pendidikan dan infrastruktur antara fokus utamanya di kawasan DUN Jeram Padang.

"Tiga perkara itu merupakan keperluan asas yang perlu diberi perhatian bagi meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.

"Saya percaya rakyat mahukan pemimpin yang memahami struktur kerajaan negeri dan Persekutuan serta mampu membawa peluang daripada kedua-dua peringkat itu ke peringkat akar umbi," katanya.

Berbekalkan pengalaman sebagai bekas Ahli Parlimen Kapar dan Setiausaha Politik di Pejabat Presiden PKR, beliau yakin pengundi di kerusi tradisi Barisan Nasional (BN) itu kini lebih matang dalam menilai kewibawaan calon.

"Saya turun ke Jeram Padang kerana tahu ada masalah dan saya yakin mampu membantu menyelesaikannya," katanya.

Manivannan yang juga seorang peguam berkata, pengalaman berkhidmat di peringkat nasional membolehkannya memahami tatacara pentadbiran kerajaan sekali gus dimanfaatkan untuk membawa pembangunan dan peluang kepada penduduk Jeram Padang.

Beliau akan berdepan saingan empat penjuru menentang penyandang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (BN), R Sri Sanjeevan (Bersatu) dan Dayana Dal daripada Parti Orang Asli Malaysia (ASLI).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian pada 1 Ogos ini.