Penyatuan Ummah: Putrajaya jadi sasaran akhir - Idris Ahmad

SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad memberi bayangan agenda 'Penyatuan Ummah' yang sedang dirintis ketika ini meletakkan sasaran akhir untuk mencapai matlamat penguasaan politik di Putrajaya.

​Menerusi hantaran ringkas di akaun Facebooknya, beliau memberikan gambaran kronologi mengenai hala tuju agenda berkenaan yang kini dikaitkan secara langsung dengan perkembangan politik di Johor dan Negeri Sembilan.

​"Penyatuan Ummah. Bertunas di Johor. Berputik di N9. InsyaAllah berbuah di Putrajaya," katanya di laman sosialnya itu pada Sabtu.

​Meskipun beliau tidak memperincikan maksud tersirat di sebalik kenyataan, hantaran itu dimuat naik ketika tumpuan landskap politik tanah air mula terarah kepada persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan.

​Perkembangan itu juga dilihat mempunyai kaitan rapat dengan dinamika kerjasama pilihan raya yang membabitkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

​Berdasarkan maklumat pembahagian kerusi yang diumumkan sebelum ini, BN dilaporkan bakal bertanding di 25 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Sementara baki 11 kerusi lagi akan ditandingi PN bagi mengelakkan berlaku pertembungan sesama sendiri.

​Sehubungan itu, ungkapan "insya-ALLAH berbuah di Putrajaya" yang dizahirkan oleh Idris dilihat sebagai penanda aras harapan tinggi beliau agar formula penyatuan yang dirujuk berkenaan akhirnya dapat diterjemahkan dengan jayanya pada peringkat Persekutuan menjelang pilihan raya umum akan datang.