Pas pimpin PN berteraskan penyatuan ummah demi kesejahteraan

SHAH ALAM - Pas memimpin Perikatan Nasional (PN) berasaskan prinsip penyatuan ummah dengan menghimpunkan parti-parti Melayu serta bukan Islam yang tidak ekstrem bagi membina negeri dan negara ke arah lebih sejahtera.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, prinsip itu menjadi asas kepada permuafakatan politik yang dibentuk menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi mengelakkan pertembungan kerusi yang menurutnya boleh merugikan kuasa politik Melayu-Islam.

"PAS memimpin Perikatan Nasional di atas prinsip penyatuan ummah, menyatukan parti-parti Melayu dan bukan Islam yang tidak ekstrem supaya membina negeri dan negara ke arah yang lebih sejahtera.

"Penyatuan ummah inilah yang direncana dengan permuafakatan yang dibentuk melalui penyusunan kerusi bagi mengelakkan pertembungan kerusi yang merugikan semula kuasa politik Melayu-Islam," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, Pemuda Pas menzahirkan rasa syukur atas permuafakatan yang berjaya dibentuk bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan, yang disifatkan sebagai strategi dan pendekatan paling ampuh ke arah pembentukan kerajaan Melayu-Islam di negeri itu.

Menurutnya, kerjasama antara dua gabungan politik itu direalisasikan menerusi persefahaman politik yang diterjemahkan melalui penyusunan kerusi untuk ditandingi pada PRN berkenaan.

Afnan Hamimi berkata, dalam landskap politik yang semakin rencam, penyatuan undi Melayu-Islam amat penting bagi mengelakkan Pakatan Harapan (PH) dan DAP terus memperoleh kelebihan susulan perpecahan politik.

Katanya, penyatuan itu diyakini mampu menjadi penyelesaian ke arah pembentukan sebuah kerajaan Negeri Sembilan yang lebih stabil, kukuh dan berwibawa.

Beliau turut mendakwa sejak DAP berada dalam kerajaan negeri, kedudukan institusi adat di Negeri Sembilan sering berdepan konflik sehingga mencetuskan pertembungan membabitkan Undang Yang Empat.

"Dengan itu, matlamat permuafakatan yang dibina atas prinsip penyatuan ummah ini adalah bagi menjaga kepentingan negeri, selain memastikan kemelut serta konflik melibatkan institusi adat negeri dapat ditenangkan dan diselesaikan dengan sempurna.

"Sentimen rakyat Negeri Sembilan terhadap adat, institusi diraja dan kedudukan Islam wajar menjadi pemangkin serta tunjang keutuhan politik yang sentiasa dipegang oleh Pas," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan tanpa mengira sama ada Melayu-Islam atau bukan Islam supaya bersama-sama berada di bawah payung gagasan penyatuan ummah.

Katanya, PRN kali ini perlu dijadikan medan untuk menyemai perpaduan sebenar selain memberi peluang kepada rakyat menentukan hala tuju, kestabilan dan masa depan Negeri Sembilan menerusi proses demokrasi di peti undi.