SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan bahawa menggadaikan kepercayaan rakyat semata-mata demi mencapai kemenangan pilihan raya bukan menjadi strategi politik Pakatan Harapan (PH).
Ketegasan itu dinyatakan susulan perkembangan semasa berkaitan persefahaman dan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, PH menghormati hak setiap parti untuk menentukan pendekatan serta strategi masing-masing dalam menghadapi pilihan raya.
Menurut beliau, PKR kekal dengan pendirian bahawa sebarang keputusan politik di peringkat negeri sentiasa dinilai berdasarkan kepentingan serta aspirasi rakyat Negeri Sembilan.
"Berteraskan prinsip 'bulat air kerana pembuluh, bulat kata kerana muafakat', PH tetap bertegas bahawa menggadaikan kepercayaan demi kemenangan bukan dalam kamus strategi politik kami.
"Agenda pembangunan negara serta kebajikan rakyat dapat terus dilaksanakan dengan berkesan ialah paksi serta tunjang utama yang mendasari setiap langkah politik kami," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Sabtu.
Beliau berkata, PRN Negeri Sembilan merupakan pentas demokrasi untuk parti-parti menawarkan dasar, rekod perkhidmatan dan kepimpinan terbaik kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau berkata, PKR akan terus memberi tumpuan kepada perjuangan membabitkan isu kesejahteraan rakyat, peluang ekonomi, kos sara hidup, pembangunan seimbang serta tadbir urus yang telus dan berintegriti.
"Perbezaan strategi politik dalam pilihan raya negeri merupakan perkara biasa dalam landskap politik yang sentiasa terbuka kepada pelbagai kemungkinan," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh jentera PKR dan PH supaya kekal fokus, berdisiplin serta bekerja dengan penuh iltizam bagi meraih keyakinan rakyat dan mempertahankan mandat PH di Negeri Sembilan.