'Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga' - Khir Toyo

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan menjadi manifestasi politik matang yang diyakini mampu membawa impak lebih besar kepada rakyat dan negara.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, kematangan politik bukan sekadar membentuk pakatan, sebaliknya menilai setiap keputusan berdasarkan manfaat yang bakal dinikmati rakyat dan kepentingan negara dalam jangka panjang.

Menurutnya, majoriti rakyat menyedari kerajaan Madani membawa lebih banyak kemudaratan sekiranya terus dikekalkan.

"Justeru, semua parti politik mempunyai tanggungjawab untuk memastikan hasrat rakyat diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

"Politik matang bererti menilai dan memastikan keputusan akhir sesuatu tindakan itu membawa impak yang baik kepada rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Sabtu lalu, BN berjaya memenangi PRN Johor selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala lapan kerusi lagi dimenangi Pakatan Harapan (PH).

Susulan kemenangan BN, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada keesokannya mengakui parti itu sedang mengadakan rundingan dengan BN dan menunjukkan perkembangan positif bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula pada Rabu memaklumkan kerjasama BN dengan rakan politiknya akan diumumkan secara rasmi pada Khamis.

Beliau berkata, baki 11 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang belum diumumkan BN akan ditandingi rakan kerjasama berkenaan.

BN sebelum itu mengumumkan akan bertanding di 25 kerusi DUN, manakala PN pada Khamis melengkapkan pembahagian kerusi apabila mengumumkan 11 calon.

Pengumuman itu sekali gus melengkapkan agihan kesemua 36 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Mengulas lanjut, Mohamad Khir berkata, perkembangan kerjasama yang berlaku pada PRN Johor dan Negeri Sembilan menjadi petanda kepada gelombang baharu politik negara.

Katanya, kerjasama antara dua parti Melayu itu wajar didukung semua pihak kerana diyakini mampu memberi kesan yang lebih besar kepada masa depan negara.

Beliau turut mengibaratkan hubungan itu dengan peribahasa 'carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga' dan 'biduk lalu kiambang bertaut' sebagai simbol penyatuan selepas berlakunya perbezaan pendapat.

"Peganglah agama dan tali ALLAH, insya-ALLAH kita akan berjaya," jelas beliau.