BN disaran keluar Kerajaan Perpaduan jika mahu bekerjasama dengan PN

SHAH ALAM – Pemuda Amanah Sungai Buloh menggesa Barisan Nasional (BN) keluar daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya mahu memberi tumpuan kepada kerjasama politik bersama Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Sungai Buloh, Abdul Muhaimin Abu Bakar berkata, sudah tiba masanya BN membuat keputusan yang jujur dan bertanggungjawab selaras dengan realiti politik semasa.

Menurutnya, keengganan BN meninggalkan Kerajaan Perpaduan, sebaliknya terus mengekalkan kedudukan dalam Kabinet, hanya akan menjejaskan kestabilan kerajaan serta merencatkan agenda pembaharuan yang sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan Madani.

"BN juga dilihat semakin menjauh daripada semangat perpaduan yang diusung bersama Pakatan Harapan (PH), sebaliknya lebih cenderung menjalin kerjasama politik dengan PN," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat selain menggugat kepercayaan terhadap Kerajaan Perpaduan.

"Justeru, pimpinan tertinggi BN perlu berani membuat keputusan untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan secara terbuka bekerja bersama Perikatan Nasional sekiranya itu merupakan hala tuju politik sebenar mereka," katanya.

Abdul Muhaimin berkata, kerajaan Madani memerlukan rakan yang komited, berprinsip dan konsisten dalam menjayakan agenda reformasi demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, rakyat berhak mengetahui pendirian sebenar setiap parti dalam landskap politik negara.

Beliau menegaskan, Pemuda Amanah Sungai Buloh akan terus berdiri teguh bersama kerajaan Madani dalam memperjuangkan keadilan sosial, integriti dan masa depan yang lebih baik untuk negara.