PRN Negeri Sembilan: Anwar biarkan DAP dibelasah UMNO

SHAH ALAM - Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak membiarkan DAP bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hanya untuk 'dibelasah' oleh UMNO.

Beliau berkata, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dilihat tidak mengambil sebarang tindakan tegas susulan perkembangan baharu membabitkan rundingan Pas dengan Barisan Nasional (BN).

"Anwar sedang mencampakkan anda di bawah bas (mengorbankan) and anda tidak berbuat apa-apa?

"Karpal (mendiang Karpal Singh) dan Chen Man Hin (pengasas parti DAP) tidak akan menerima penghinaan ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Zaid yang juga ahli baru Pas berkata, Anwar sepatutnya mengambil tindakan awal dengan menggugurkan semua menteri daripada UMNO daripada Jemaah Menteri yang diterajuinya.

"Sebagai permulaan, beliau boleh menggugurkan semua menteri daripada UMNO dalam Kabinet sekiranya mereka tidak menghentikan rancangan untuk menewaskan DAP.

"Mungkin langkah itu akan berkesan kerana UMNO sangat 'mencintai' jawatan," katanya lagi.

Terdahulu, Pas mengakui mengadakan rundingan dengan BN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan perbincangan yang sedang berjalan antara dua pihak itu menunjukkan perkembangan positif.

Pada masa sama, DAP mengumumkan untuk bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri dengan tiga daripadanya muka baharu.