Albert Tei tak jadi lawan Anthony di Chennah

SEREMBAN - Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei membatalkan hasratnya bertanding melawan Anthony Loke Siew Fook di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos depan.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Albert atau nama sebenarnya Tei Jiaan Chewing, 37, memaklumkan keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada calon MCA.

"Semalam saya telah berjumpa dengan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan selepas perbincangan dengan beliau, saya membuat keputusan untuk tarik diri bertanding di DUN Chennah melawan Anthony.

"Saya menyokong penuh calon MCA-Barisan Nasional (BN), John Siow untuk bertanding di kerusi tersebut kerana saya telah membuat saringan bahawa beliau merupakan seorang yang berjiwa rakyat serta berkredibiliti menggalas amanah berkenaan," katanya.

Albert berkata, beliau akan hadir pada hari penamaan calon, 18 Julai ini bagi menyatakan sokongan kepada calon MCA itu.

Menurutnya lagi, beliau akan melakukan segala yang termampu untuk membantu BN menggulingkan Anthony di DUN tersebut sekali gus menumbangkan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan.

"Saya juga telah berjanji dengan John Siow bahawa saya akan berkempen untuk semua calon BN bermula 18 hingga 31 Julai.

"Saya sudah tidak sabar nak beritahu kepada seluruh masyarakat Negeri Sembilan tentang kegagalan, kejahatan dan kesalahan yang dilakukan oleh para pemimpin PH, terutamanya DAP," katanya.

Beliau turut berpesan kepada rakyat negara ini supaya menghargai kebahagiaan, kesejahteraan dan ketenteraman negara.

Sebelum ini media melaporkan Albert tidak menolak untuk bertanding PRN Negeri Sembilan kerana rakan-rakan dan pengikutnya di media sosial mengharapkan demikian.

Beliau turut menyasarkan untuk bertanding di kerusi DUN Chennah yang kini disandang oleh Anthony.

Selain itu, beliau memaklumkan berminat menyertai parti daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) dan telah pun berbincang dengan pucuk pimpinan.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] 'Semak dulu sebelum berucap, alamat IC saya memang di Negeri Sembilan'- Albert Tei

Nak bertanding di Negeri Sembilan, Anthony ingatkan Albert tukar alamat dahulu

Albert Tei mahu lawan Anthony Loke di PRN Negeri Sembilan