'Saya akan jumpa Nga Kor Ming, dia kawan saya’ - Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhasrat mengadakan pertemuan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, susulan kenyataannya berhubung kesediaan meletakkan jawatan.

Ahmad Zahid berpandangan kenyataan sedemikian tidak wajar diungkapkan oleh mana-mana anggota Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya tiada nasihat namun kenyataan tersebut harus berpatutan kerana kita berjumpa setiap minggu dalam mesyuarat Jemaah Menteri. Kalau berada di dalam pembangkang mungkin kenyataan itu boleh dianggap sebagai kenyataan yang harus.

“Tetapi jika bersama-sama dalam kerajaan tak perlu perkara sedemikian dibangkitkan... tak apa saya akan jumpa dia, dia kawan saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Majlis Amanat Bersama Kontinjen TVET@KKDW Ke Worldskills Shanghai 2026 di sini hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata hubungan antara anggota Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan kekal baik.

Beliau berkata, semua menteri dan timbalan menteri menjalankan tugas secara profesional dalam suasana yang kondusif.

“Kita bergerak sebagai satu pasukan dalam Kerajaan Perpaduan secara profesional,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan semua pemimpin telah berjanji untuk terus bersama dalam Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal

Menurutnya, komitmen itu terus dipraktikkan dan hubungan antara parti-parti dalam kerajaan kekal baik meskipun wujud pelbagai persepsi di luar.

“Persepsi masyarakat di luar itu satu perkara yang lain namun realitinya kita berada di dalam keadaan yang sangat baik,” katanya lagi.

Kor Ming sebelum ini dilaporkan berkata, akan meletak jawatan sekiranya UMNO mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.

Kenyataan itu dibuat ketika kempen PRN berkenaan minggu lalu, sebelum Barisan Nasional (BN) dan UMNO mencatat kemenangan besar dengan memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun semalam, Kor Ming menjelaskan kenyataannya telah disalah tafsir dan menegaskan pendirian itu dibuat atas prinsip mempertahankan integriti sistem kehakiman negara.

Tegasnya, beliau hanya akan meletakkan jawatan sebagai menteri sekiranya Najib dibebaskan tanpa menjalani hukuman yang setimpal, walaupun telah disabitkan bersalah. - Awani