SHAH ALAM - Empat Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menghantar aduan rasmi kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung status ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu yang didakwa sudah hilang korum.
Berdasarkan satu surat yang dilihat oleh Sinar Harian, masalah itu berpunca daripada tindakan pemecatan, penggantungan dan perletakan jawatan oleh lebih separuh ahli MPT parti tersebut.
“Perkara ini penting memandangkan kami merupakan Ahli-Ahli Parlimen Bersatu yang mempunyai kepentingan langsung terhadap sebarang keputusan parti yang berpotensi memberikan implikasi kepada kedudukan kami di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
“Dan secara tidak langsung boleh menjejaskan keabsahan parti Perikatan Nasional (PN) oleh kerana Bersatu merupakan salah satu parti anggota dalam PN,” katanya dalam surat tersebut yang ditandatangani Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan, Kalam Salan (Sabak Bernam), Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu) dan Muslimin Yahya (Sungai Besar).
Malah surat itu turut menyatakan, masalah tersebut telah disahkan oleh kenyataan akhbar oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin pada 11 Julai lalu, yang menyatakan jumlah terkini ahli MPT Bersatu kini tinggal 23 orang daripada jumlah asal iaitu 49 orang.
“(Keadaan) Itu sebenarnya tidak boleh mengadakan mesyuarat kerana tidak cukup bilangan atau korum. Apabila situasi ini berlaku, ia menimbulkan persoalan berkenaan keabsahan dan keupayaan MPT untuk menjalankan tugasnya di bawah Undang-Undang Pertubuhan dan Perlembagaan Parti,” jelas surat itu lagi.
Sehubungan itu, mereka berkata, kegagalan mematuhi perlembagaan parti bukan sahaja melanggar kedaulatan undang-undang parti, malah menjejaskan integriti pihak RoS sebagai badan yang bertanggungjawab menyelia perjalanan pertubuhan di negara ini.
“Berdasarkan kegagalan yang dinyatakan dalam mematuhi perlembagaan parti, kami dengan ini memohon Ketua Pengarah RoS untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya,” ujarnya.
Sementara itu, dalam kenyataan akhbar Bersatu baru-baru ini menjelaskan Fasal 13.12 Perlembagaan parti itu menetapkan bilangan yang mencukupi untuk mengadakan mesyuarat ialah satu per dua daripada jumlah Ahli MPT.
Dengan jumlah Ahli MPT seramai 23 orang maka cukup bilangan atau korum mesyuarat MPT ialah seramai 12 orang dan membolehkan pengurusan serta pentadbiran parti itu berjalan seperti biasa.