BN sesuaikan strategi politik, formula hadapi PRN Negeri Sembilan - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - Perbezaan demografi dan corak pengundian di Negeri Sembilan menjadi antara faktor yang akan menentukan strategi politik serta formula pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, pendekatan itu diambil memandangkan terdapat perbezaan dari segi jumlah kerusi dan komposisi penduduk di negeri berkenaan berbanding negeri-negeri lain.

"Situasi di Negeri Sembilan tentunya berbeza kerana jumlah kerusi, demografi penduduk dan corak pengundian juga berbeza. Formulanya perlu disesuaikan dengan situasi politik di Negeri Sembilan. Kita akan umumkan calon-calon pada minggu ini," katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat bersama kontinjen TVET@KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) ke Worldskills Shanghai 2026 di sini, pada Isnin, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Terdahulu, Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan pada majlis itu berkata kemenangan BN pada PRN Johor pada Sabtu dicapai menerusi kecekalan minda serta kreativiti emosi dalam menghadapi cabaran sepanjang kempen.

Beliau berkata, pendekatan tenang dan matang menjadi antara faktor kejayaan BN, selain menegaskan strategi berbeza akan digunakan bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.

Mengulas rundingan kerjasama dengan Pas termasuk cadangan calon Menteri Besar Negeri Sembilan, Presiden UMNO itu berkata, tiada sebarang perjanjian rasmi antara kedua-dua pihak berhubung perkara itu, sebaliknya hanya bersifat persefahaman sebelum dimuktamadkan.

"Tidak semuanya harus diterima sebagai satu kenyataan yang tepat. Kerana kita tidak ada sebarang perjanjian dengan Pas. Cuma kalau ada perbincangan pun sekadar understanding atau persefahaman dan kita tidak memuktamadkan sebarang perbincangan itu.

"Kita lihat perkembangan. Sebab di Johor, kita melihat apa yang dinyatakan oleh mereka berbeza dengan realiti sebelum hari pengundian, terutamanya pada hari penamaan calon dan hari pengundian. Saya anggap itu sebagai kenyataan politik oleh mereka,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya isu peletakan jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi DAP, Ahmad Zahid berkata, kenyataan berhubung perkara tertentu perlu dibuat secara munasabah memandangkan kedua-dua pihak berada dalam Kerajaan Perpaduan.

"Tak ada nasihatlah, tetapi kenyataan itu biarlah berpatutan. Setiap minggu kita berjumpa dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. Kita bukan lagi seperti dahulu ketika berada dalam pembangkang.

"Kalau kita dalam pembangkang, mungkin kenyataan itu boleh dianggap sebagai kenyataan yang seharusnya, tetapi kalau kita sama-sama dalam kerajaan, tidak perlulah perkara-perkara seperti itu dibangkitkan. Saya akan jumpa dia, dia kawan saya,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, hubungan antara pemimpin Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan kekal baik dan profesional serta menegaskan semua pihak bergerak sebagai satu pasukan sehingga tamat penggal pentadbiran.

"Sebenarnya kita berada dalam Kerajaan Perpaduan. Menteri dan timbalan menteri berada dalam situasi yang sangat kondusif dan kita bergerak sebagai satu pasukan secara profesional,” katanya. - Bernama