Tiket ETS, bas ke Johor 'laku keras' petanda ramai nak pulang mengundi- Anthony Loke

SEREMBAN – Penjualan tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan bas ke Johor habis terjual sejak seminggu lalu sekaligus menjadi petunjuk awal bahawa ramai yang akan pulang ke negeri itu bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, Sabtu ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, semua tiket tambahan perkhidmatan ETS dari KL Sentral ke Johor serta dari Johor Bahru Sentral ke arah utara menerima sambutan yang amat menggalakkan.

"Semua tiket pengangkutan awam ke Johor habis terjual sejak beberapa hari lalu dan ini satu petanda yang baik untuk peratusan keluar mengundi Sabtu ini.

"Semua tiket tambahan ETS kita juga mendapat sambutan yang baik. Kita tambah trip perjalanan dari KL Sentral ke Johor dan Johor Bahru Sentral,"katanya ditemui pemberita selepas mengumumkan calon DAP Dewan Undangan Negeri (DUN) Seremban Jaya dan Pelancaran Bilik Gerakan Pakatan Harapan(PH) Seremban Jaya pada Jumaat.

Beliau berkata, terdapat dua corak utama pergerakan pengundi iaitu mereka yang bekerja di Lembah Klang pulang ke Johor menggunakan ETS, manakala rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura menggunakan tren dari Johor Bahru untuk pulang ke kawasan seperti Segamat, Labis dan Kluang.

Setiausaha Agung DAP itu turut memaklumkan kebanyakan tiket bas ekspres juga telah habis dijual, selain terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut menyediakan bas khas untuk membawa warga Johor pulang mengundi di kampung halaman.

Katanya, situasi itu merupakan petanda positif terhadap peningkatan penyertaan pengundi pada pilihan raya kali ini berbanding sebelumnya.

"Kita berharap peratusan keluar mengundi kali ini melebihi 70 peratus berbanding hanya 54 peratus pada pilihan raya lalu yang berlangsung ketika negara masih berdepan sekatan pandemik Covid-19.

"Pada waktu itu, ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tidak dapat pulang mengundi. Namun kali ini tiada lagi sekatan dan kita berharap lebih ramai akan pulang menunaikan tanggungjawab mereka,"katanya.

Anthony yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan sambutan luar biasa terhadap tiket pengangkutan awam.

Jelas beliau, pentingnya peratusan keluar mengundi itu tinggi bagi menyuburkan sistem demokrasi negara.

"Siapa menang atau kalah itu belum lagi sehingga keputusan dikeluarkan.

"Tapi kita nak penyertaan pengundi dalam pilihan raya kekal tinggi kerana kalau hanya separuh pengundi yang ambil bahagian, itu akan menimbulkan isu kreadibiliti atau keabsahan sebuah kerajaan kerana tak wakili majoriti suara pengundi,"katanya.

Mengikut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), lebih 1.29 juta pengundi berdaftar di Johor berumur bawah 40 tahun, termasuk 544,657 pengundi berumur 21 hingga 29 tahun dan 165,386 pengundi berumur 18 hingga 20 tahun.