SHAH ALAM - Rasa tawar hati pengundi Cina terhadap prestasi Pakatan Harapan (PH) telah mewujudkan suasana kempen hambar menjadikan kadar keluar mengundi mereka penentu utama keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
ILHAM Centre dalam kenyataan memaklumkan, keadaan itu bukan diterjemahkan kepada peralihan sokongan secara besar-besaran kepada Barisan Nasional (BN), sebaliknya lebih kepada kecenderungan pengundi Cina untuk tidak keluar mengundi.
Menurutnya, meskipun ramai pengundi Cina masih melihat PH sebagai pilihan yang lebih hampir dengan kecenderungan politik mereka, tahap keterujaan untuk kembali mengundi berada pada aras yang jauh lebih rendah berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Perkara ini menjelaskan mengapa kadar keluar mengundi etnik Cina menjadi pemboleh ubah paling kritikal dalam menentukan keputusan di kawasan bandar dan separa bandar.
"Dapatan ILHAM Centre menunjukkan PH memerlukan kadar keluar mengundi sekurang-kurangnya 65 peratus bagi mengekalkan kelebihan di kerusi-kerusi berkenaan.
"Sekiranya peratusan keluar mengundi berada di bawah jangkaan, beberapa kerusi yang sebelum ini dianggap selesa berpotensi bertukar menjadi kerusi sengit atau beralih kepada BN," menurut kenyataan itu pada Jumaat.
ILHAM Centre berkata, persaingan antara BN dan PH dalam PRN Johor sebenarnya berlangsung di medan yang berbeza apabila BN memiliki kelebihan di kawasan majoriti Melayu.
"Manakala PH bergantung kepada kekuatan di kawasan majoriti Cina serta kawasan bandar dan separa bandar yang mempunyai kepadatan pengundi tinggi.
"Bagi BN, kestabilan sokongan pengundi Melayu menjadi asas kemenangan, manakala bagi PH, penentu utama ialah sejauh mana gabungan itu mampu menggerakkan penyokong tradisinya keluar mengundi," katanya.
Jelas kenyataan itu, di kawasan majoriti Melayu, kajian lapangan mendapati sokongan penyokong Pas menjadi antara faktor yang mengukuhkan kedudukan BN di banyak kerusi.
"Selepas perubahan landskap dalam blok pembangkang, sebahagian pengundi Pas tidak lagi melihat Perikatan Nasional (PN) sebagai pilihan yang mempunyai prospek kemenangan.
"Keadaan itu menyebabkan berlakunya kecenderungan sokongan taktikal kepada BN di beberapa kawasan yang sebelum ini menjadi medan persaingan sengit tiga penjuru, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan BN dalam kalangan pengundi Melayu," katanya.
Dalam pada itu, ILHAM Centre berpandangan andaian bahawa keputusan PRU akan berulang secara automatik dalam PRN tidak semestinya berlaku.
"Hal ini kerana pilihan raya negeri mewujudkan corak tingkah laku pengundi yang berbeza, khususnya dalam kalangan pengundi Cina.
"Tanpa elemen keterujaan, isu besar atau gelombang nasional yang mampu menggerakkan penyokong keluar mengundi, PH dijangka berdepan kesukaran untuk mengulangi prestasi seperti yang dicapai pada PRU15," katanya.