Pastikan keluar mengundi, ulangi sejarah PRU 2018 - Ahli MPP PKR

SHAH ALAM - Seluruh rakyat Johor diseru supaya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari pengundian dengan keluar mengundi beramai-ramai bagi memastikan kerajaan negeri yang dibentuk memperoleh mandat yang kukuh daripada rakyat.

Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), G Sivamalar berkata, rakyat Johor pernah membuktikan kekuatan suara mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 apabila mencipta sejarah melalui penyertaan tinggi dalam proses demokrasi.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPP) parti itu, semangat itu wajar dihidupkan semula bagi mengelakkan berulangnya kadar peratusan keluar mengundi yang rendah seperti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.

"Pada tahun 2018, rakyat Johor keluar beramai-ramai dan menggunakan kuasa undi mereka. Mereka membuktikan bahawa apabila rakyat hadir, bersuara dan membuat pilihan, perjalanan politik sesebuah negeri mampu berubah.

"Sebaliknya, pada PRN Johor 2022, kadar keluar mengundi hanya sekitar 55 peratus, sekali gus menyaksikan hampir separuh daripada pengundi yang layak tidak mengambil bahagian menentukan kepimpinan negeri," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kadar penyertaan yang tinggi penting bagi memastikan kerajaan yang bakal dibentuk benar-benar mendapat mandat yang menyeluruh daripada rakyat.

"Semakin ramai rakyat keluar mengundi, semakin kukuh suara rakyat dalam menentukan siapa yang diberi amanah mentadbir Johor. Peratusan keluar mengundi yang rendah tidak pernah baik untuk demokrasi," katanya.

Menurut Sivamalar, demokrasi bukan sekadar menentukan pihak yang menang atau kalah, sebaliknya memberi ruang kepada rakyat menyatakan pendirian menerusi peti undi.

Justeru, beliau menggesa semua pengundi, tanpa mengira kecenderungan politik, supaya menggunakan hak masing-masing secara bertanggungjawab.

"Jika mahukan perubahan, keluarlah mengundi. Jika mahukan kesinambungan, keluarlah mengundi. Jika kecewa dengan politik sekali pun, jangan berdiam diri kerana apabila rakyat tidak mengundi, orang lain akan membuat keputusan bagi pihak mereka.

"Saya tidak meminta rakyat mengundi mengikut kehendak saya, sebaliknya mengundi mengikut hati nurani masing-masing agar kerajaan yang dibentuk nanti mendapat mandat daripada seramai mungkin rakyat Johor," katanya.

Beliau turut mengajak pengundi membawa bersama ahli keluarga dan rakan-rakan yang layak mengundi bagi memastikan setiap undi memainkan peranan dalam menentukan masa depan Johor.