PRN Johor: SPRM terima tiga maklumat rasuah termasuk babit seorang calon

PUTRAJAYA -  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima tiga maklumat berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, termasuk satu dakwaan kesalahan rasuah melibatkan calon pilihan raya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata setakat ini, maklumat yang diterima merangkumi satu aduan daripada Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) di Batu Pahat, manakala dua lagi merupakan maklumat umum.

Beliau berkata, kesemua maklumat berkenaan sedang dinilai dan disiasat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Kalau ada kesalahan rasuah dalam pilihan raya yang sedang berlangsung ini, tidak kira apa parti, calon, pengundi ataupun penyokong, kalau terdapat unsur rasuah, itu tetap rasuah.

"Saya tidak akan komen apa-apa, tetapi dalam kes ini ia melibatkan calon,” katanya pada sidang media di SPRM Putrajaya, di sini ketika ditanya pemberita mengenai dakwaan rasuah melibatkan calon di Batu Pahat.

Dalam pada itu, Abd Halim memaklumkan SPRM telah mengaktifkan bilik gerakan pilihan raya di Johor Bahru, Segamat, Kluang, Batu Pahat dan Mersing, bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan salah guna kuasa serta rasuah sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung.

SPRM menegaskan tiada kompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan rasuah pilihan raya, tanpa mengira latar belakang demi memelihara integriti proses demokrasi.

"Pilihan raya yang bersih bukan sahaja menjamin integriti sistem demokrasi, malah memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi negara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua calon, parti politik, penyokong serta pengundi agar sentiasa mematuhi undang-undang sepanjang tempoh berkempen dan pada hari pengundian.

Sebanyak 2.7 juta pemilih biasa yang layak, dijangka menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Sabtu ini, untuk memilih 56 wakil rakyat bagi penggal akan datang.- Bernama