Jadi pembangkang lebih munasabah

SHAH ALAM – Pengakuan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Perikatan Nasional (PN) berkemungkinan tidak mampu membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dianggap sebagai penilaian yang realistik berdasarkan jumlah kerusi ditandingi gabungan itu.

Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Jayum Jawan berkata, dengan hanya bertanding di 33 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), peluang PN untuk membentuk kerajaan dilihat agak sukar apatah lagi gabungan berkenaan hanya menang tiga kerusi pada PRN Johor sebelum ini.

Justeru, katanya, sasaran untuk menjadi blok pembangkang yang kuat lebih munasabah dan mampu memberi nilai tambah kepada sistem demokrasi negeri.

"Pengakuan Muhyiddin itu dilihat agak tepat dengan situasi semasa atau ‘berpijak di bumi yang nyata’ kerana untuk membentuk kerajaan perlu memperoleh majoriti mudah.

"Kalau menang sekitar 15 kerusi sekali pun, PN sudah boleh muncul sebagai pembangkang yang kuat dan memainkan peranan semak dan imbang dalam DUN," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Muhyiddin yang mengakui PN mungkin tidak dapat membentuk kerajaan negeri selepas PRN Johor pada Sabtu ini, namun sokongan pengundi terhadap gabungan itu masih penting bagi membolehkan mereka menjadi blok pembangkang yang berkesan.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut menyatakan parti tersebut menyasarkan untuk menjadi pembangkang di Johor dan mahu bertindak sebagai penasihat kepada kerajaan negeri sekiranya memperoleh mandat rakyat.

Pada PRN Johor kali ini, PN meletakkan calon di 33 kerusi DUN membabitkan Bersatu di 16 kerusi, Pas (11 kerusi), Parti Rakyat India Malaysia atau MIPP (lima kerusi) dan Parti Pejuang Tanahair atau Pejuang (satu kerusi).

Tiga kerusi yang dimenangi PN dalam PRN Johor 2022 ialah Bukit Kepong yang diwakili Bersatu, Endau (Bersatu) dan Maharani (Pas).

Pembangkang penting

Dalam pada itu, Jayum menegaskan, kewujudan pembangkang yang kuat perlu dilihat sebagai elemen penting dalam sistem demokrasi kerana mampu memastikan kerajaan negeri lebih bertanggungjawab dalam membuat keputusan.

Katanya, pembangkang bukan sekadar mengkritik, malah berfungsi meneliti setiap dasar dan projek pembangunan supaya benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

"Kerajaan di mana-mana negeri tetap memerlukan pembangkang yang kuat sebagai penyemak dan pengimbang.

"Apabila kerajaan mengumumkan projek-projek besar, mesti ada pihak yang menilai sama ada manfaatnya benar-benar dirasai rakyat atau hanya menguntungkan kelompok tertentu," jelasnya.

Beliau berkata, pengalaman politik negara sejak 2018 menunjukkan kewujudan pembangkang yang kuat telah meningkatkan kualiti perbahasan dan semakan terhadap dasar kerajaan.

Bagaimanapun, Jayum menyifatkan PRN Johor sebagai medan ujian pertama bagi menilai kekuatan tiga kuasa politik utama Melayu iaitu UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Bersatu sebelum berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Johor menjadi testing ground kepada parti-parti utama. Prestasi mereka di negeri ini akan memberi gambaran awal tentang pola sokongan pengundi pada pilihan PRU16 akan datang," ujarnya.