PN memang tidak sasar tawan Johor – Tuan Ibrahim

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) sememangnya tidak meletakkan sasaran untuk mengambil alih pentadbiran Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara tersebut telah dijangkakan sejak awal berdasarkan jumlah kerusi yang ditandingi oleh gabungan berkenaan.

Menurutnya, PN tidak bertanding di 23 daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

"Sejak awal kita telah menjangkakan PN tidak akan menawan Johor berdasarkan jumlah kerusi ditandingi. Ada 23 kerusi PN tidak bertanding.

"Malah, kenyataan supaya pengundi memberi undi kepada BN di kawasan tidak ditandingi PN turut mengesahkan strategi PN sejak awal bukan untuk mengambil alih pentadbiran Johor," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengakui PN mungkin tidak mampu membentuk kerajaan negeri selepas PRN Johor, pada Sabtu ini.

Menurut Tuan Ibrahim, kenyataan Muhyiddin itu menepati apa dinyatakan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa PN bertanding untuk menjadi pembangkang yang progresif dan sedia membantu Barisan Nasional (BN) sekiranya gabungan mereka berjaya memenangi kerusi.