KEMPEN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini bukan sekadar menyaksikan persaingan menawarkan manifesto dan rekod pentadbiran, malah turut diwarnai pertarungan naratif yang sengit antara parti-parti bertanding.
Daripada dakwaan 'Undi BN = Najib Bebas', isu hubungan BN dengan Pas, kempen 'Tolak DAP', sehinggalah polemik JS-SEZ, BMW Perdana Menteri dan gimik politik di media sosial, setiap pihak berlumba-lumba membentuk persepsi pengundi.
Ada naratif yang berjaya menguasai perbualan sepanjang kempen, ada juga yang sekadar tular sebelum tenggelam.
Menjelang pengundian Sabtu ini, persoalan paling besar ialah naratif manakah yang benar-benar berjaya mempengaruhi hati pengundi, dan yang mana pula sekadar menjadi ‘perang’ di pentas ceramah serta media sosial. Berikut 10 isu yang paling mencorakkan kempen PRN Johor.
**media[3574841]**
1. ‘Undi BN = Najib Bebas’
Naratif ini menjadi antara isu paling hangat sepanjang kempen PRN Johor selepas Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pilihan raya itu diadakan lebih awal kerana ada pihak mahu kembali berkuasa bagi membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau mengemukakan hujah itu ketika ceramah mega PH di DUN Serom pada 5 Julai sebelum naratif sama diulang pimpinan dan jentera PH di beberapa lokasi kempen.
“Pilihan raya tak perlu sekarang... mereka rasa mereka cukup kuat nak berkuasa kembali, kemudian tentunya nak bebaskan Najib,” kata Anwar.
BN bagaimanapun menolak dakwaan itu. Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkannya sebagai hasutan politik, manakala Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan kuasa pengampunan terletak pada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan dan tidak ditentukan melalui peti undi.
**media[3574842]**
2. ‘Undi BN Dapat Pas’
Naratif 'Undi BN Dapat Pas' menjadi antara serangan utama PH selepas penamaan calon PRN Johor apabila pucuk pimpinan Pas mengarahkan ahlinya mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi PN.
Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong dan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching kemudian menjadikan arahan itu sebagai bukti wujud kerjasama tidak rasmi antara BN dan Pas.
Melalui ceramah serta media sosial, PH berhujah undi kepada BN, termasuk MCA dan MIC, secara tidak langsung mengukuhkan pengaruh Pas, sekali gus menyasarkan pengundi bukan Melayu yang bimbang terhadap agenda parti itu.
BN bagaimanapun menolak dakwaan tersebut. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan sokongan Pas hanyalah pendirian sebelah pihak dan tidak menggambarkan sebarang kerjasama politik baharu.
Namun Pas pula tidak menafikan arahan itu, malah Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan ia merupakan strategi bagi menghalang DAP menguasai lebih banyak kerusi di Johor.
**media[3574845]**
3. Kempen ‘Tolak DAP’
Kempen 'Tolak DAP' menjadi antara naratif paling unik dalam PRN Johor apabila ia digerakkan oleh BN Johor sendiri, diterajui Pengerusinya merangkap Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Naratif itu mula mendapat perhatian sejak awal Jun sebelum tempoh rasmi kempen apabila beliau menegaskan DAP tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri jika BN memperoleh mandat baharu.
BN berhujah pendirian itu bertujuan memastikan Johor ditadbir secara stabil tanpa perlu bergantung kepada parti lain, selain menegaskan ia bukan isu perkauman tetapi perbezaan prinsip politik.
Kenyataan itu mengundang kritikan PH dan DAP yang menyifatkannya bercanggah dengan semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, mengingatkan Johor tidak seharusnya kembali kepada politik dominasi satu parti, manakala PH Johor menggesa Onn Hafiz menghormati prinsip tanggungjawab bersama dalam kerajaan.
**media[3574850]**
4. Guna aset kerajaan jadi isu
Isu penggunaan agensi, program dan aset kerajaan menjadi antara polemik terbesar sepanjang kempen PRN Johor selepas BERSIH mendakwa kedua-dua blok utama, PH di peringkat Persekutuan dan BN sebagai kerajaan negeri sementara, memperoleh kelebihan melalui program rasmi kerajaan.
Bagi PH, BERSIH membangkitkan beberapa perkara termasuk penyiaran promosi ceramah di platform RTM, pengagihan 3,000 Kad Komuter MADANI Shuttle Selatan oleh Menteri Pengangkutan serta pengumuman peruntukan RM216.44 juta oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika musim pilihan raya.
Terhadap BN pula, BERSIH mempersoalkan pelancaran Pelan Transformasi Ekonomi Johor dan pengagihan bantuan Bakul Kasih Johor, yang didakwa memberi kelebihan kepada BN.
Perdana Menteri mengakui berlaku kesilapan teknikal membabitkan RTM dan mengarahkan ia diperbetulkan, manakala BN Johor menegaskan program pembangunan serta bantuan negeri adalah kesinambungan pentadbiran, bukan bahan kempen.
**media[3574847]**
5. Puad gegar kempen PRN
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mencetuskan kejutan apabila keluar UMNO pada 25 Jun sebelum mengisytiharkan sokongan kepada calon PH dan muncul sepentas dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Felda Ulu Tebrau pada 4 Julai.
Puad mendakwa proses pemilihan calon BN Johor tidak telus dan mempertahankan tindakannya atas alasan BN serta PH membentuk Kerajaan Perpaduan.
UMNO pula mendakwa beliau bertindak kerana kecewa anaknya tidak dipilih sebagai calon, manakala kenyataannya mengaitkan Istana Johor membawa kepada siasatan polis. Episod itu menjadi antara plot twist terbesar sepanjang kempen PRN Johor.
**media[3574851]**
6. RTS jadi modal kempen
Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura turut dijadikan modal kempen apabila PH dan BN saling mempertahankan rekod masing-masing terhadap projek mega itu.
Sebelum pembubaran DUN Johor lagi, PH mengangkat penstrukturan semula kos projek yang diterajui Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebagai faktor memastikan RTS diteruskan.
BN pula berhujah projek itu bermula ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dan mendakwa perubahan yang dibuat kerajaan PH menyebabkan kos meningkat serta projek tertangguh. Perdebatan itu menjadikan RTS antara simbol persaingan untuk menonjolkan rekod pembangunan dan pengurusan projek mega di Johor.
**media[3574844]**
7. ‘Tak cerdik’ cetus polemik
Pertikaian mengenai Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjadi hangat apabila Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pelan induk masih menunggu persetujuan Singapura.
Onn Hafiz menegaskan kenyataan itu boleh mengelirukan pelabur, sebelum Anwar menyindir beliau sebagai ‘tak cerdik’ kerana tidak memahami proses pelaksanaan JS-SEZ.
Onn Hafiz kemudian membalas supaya Perdana Menteri bercakap berdasarkan fakta, manakala Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan BN dan PH tidak bergaduh atau ‘bermanja’, sebaliknya berkempen secara profesional tanpa melakukan serangan bersifat below the belt.
“Saya mungkin tidak cerdik, tetapi lebih merisaukan jika Perdana Menteri tidak teliti dan cerdik dalam membuat kenyataan tidak tepat,” kata Onn Hafiz.
**media[3574853]**
8. Gimik ‘talkin’ undang kecaman
Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mencetuskan kontroversi apabila memuat naik video satira “Talkin Pilihan Raya” di media sosial pada 6 Julai.
Dalam video itu, beliau menggunakan gaya bacaan talkin untuk menggesa pengundi menerima pemberian parti lawan tetapi tetap mengundi PH.
Gimik itu mengundang kecaman pelbagai pihak termasuk ADUN PKR, Altimet yang meminta video berkenaan dipadam, manakala Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid menyifatkannya sebagai tidak menghormati kesucian agama.
Kontroversi itu turut mencetuskan perdebatan hangat dalam media sosial.
“Hal agama jangan dijadikan bahan gurauan politik,” kata Altimet.
**media[3574852]**
9. PRN: Kenapa Sabtu, bukan Ahad?
Cadangan supaya hari mengundi PRN Johor diadakan pada Ahad menjadi polemik selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan keputusan SPR menetapkan pengundian pada Sabtu ketika berkempen di Ledang dan Serom.
Beliau berhujah hari Ahad lebih memudahkan rakyat Johor yang bekerja di Singapura pulang mengundi.
Kenyataan itu dikritik pembangkang yang mengingatkan kebanyakan pilihan raya sejak 2022 turut diadakan pada Sabtu.
Di Parlimen, Anwar menjelaskan ia hanyalah pandangan peribadi dan bukan campur tangan terhadap SPR, malah menegaskan beliau tidak akan meminta Singapura memberi kelonggaran kepada pekerja Malaysia kerana menghormati kedaulatan kedua-dua negara.
**media[3574849]**
10. BMW ‘kalis peluru’ uji imej PM
Penggunaan BMW berperisai oleh Perdana Menteri menjadi polemik pada penghujung kempen PRN Johor selepas gambar dan video kenderaan itu tular di media sosial. Pengkritik mendakwa ia bercanggah dengan imej kesederhanaan yang sering dibawa Anwar. Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagaimanapun menjelaskan BMW itu bukan pembelian baharu, sebaliknya aset sedia ada kerajaan yang dikhaskan untuk kegunaan ketua negara dan ketua kerajaan asing.
Menurut JPM, ia dipinjamkan sementara kepada Perdana Menteri atas nasihat keselamatan PDRM ketika kenderaan rasmi beliau, sebuah Mercedes-Benz S580e yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong, menjalani penyelenggaraan.
“BMW itu bukan pembelian baharu, tetapi aset sedia ada kerajaan,” kata Jabatan Perdana Menteri.