SHAH ALAM - Isu membabitkan pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan naratif 'undi Barisan Nasional (BN) dapat Pas' dilihat menjadi antara kontroversi paling berpotensi mengubah momentum saat akhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Profesor Sosiologi Politik Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Novel Lyndon berkata, kedua-dua isu itu bukan sahaja mencetuskan perdebatan politik, malah menyentuh sentimen emosi pengundi berkaitan hubungan antara parti dan hala tuju politik negara.
"Selain isu Najib dan naratif undi BN dapat Pas', kempen turut diwarnai kontroversi lain seperti penggunaan aset kerajaan, kritikan daripada Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, dakwaan hubungan tidak langsung antara BN dengan Perikatan Nasional (PN) atau Pas, sentimen anti-DAP serta isu pengumuman projek dan dasar ketika tempoh berkempen.
"PRN Johor melibatkan 56 kerusi dan 172 calon, menjadikannya medan pertandingan yang sangat terbuka dan kompetitif," katanya.
Bagaimanapun, Novel mengakui, kontroversi sepanjang kempen boleh memberi kesan berbeza kepada kelompok pengundi.
Katanya, bagi penyokong tegar, isu-isu berkenaan lazimnya mengukuhkan sokongan kerana dianggap sebagai serangan politik terhadap parti pilihan mereka.
"Bagi pengundi atas pagar, khususnya di bandar, muda dan kelas menengah, kontroversi boleh timbulkan keraguan terhadap integriti, kestabilan dan kejujuran parti," ujarnya lagi.
Novel menjelaskan, sepanjang kempen, beliau melihat pengundi Johor dipengaruhi oleh kedua-dua isu negeri dan nasional, tetapi coraknya berbeza mengikut kawasan.
"Di kawasan bandar dan separa bandar, isu nasional seperti DAP, Pas, Najib, reformasi dan prestasi Kerajaan Perpaduan lebih kuat.
"Di kawasan luar bandar, isu setempat seperti pembangunan, kos sara hidup, peluang kerja, jalan raya, bantuan rakyat dan prestasi wakil rakyat lebih dominan," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berpandangan kontroversi dalam PRN Johor tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan sama ada ia tular, tetapi perlu dianalisis berdasarkan keupayaannya membentuk persepsi, identiti politik dan legitimasi kuasa.
Dalam sosiologi politik, katanya, sesuatu isu dianggap signifikan apabila ia berjaya mengubah cara pengundi mentafsir realiti politik, walaupun isu tersebut tidak semestinya mengubah fakta.
Sementara itu, penganalisis politik, Dr Mohamad Hafis Amat Simin turut berpandangan naratif hubungan BN-Pas, isu Najib dan kedudukan DAP antara isu yang cuba mengubah rentak kempen pada saat-saat akhir.
Menurutnya, naratif berkenaan bukan sekadar bertujuan menyerang parti tertentu, sebaliknya cuba membentuk persoalan lebih besar mengenai hala tuju politik selepas PRN.
“Persoalan seperti ‘siapa akan bekerjasama dengan siapa selepas pilihan raya’ digunakan untuk mempengaruhi psikologi pengundi.
“Dalam konteks ini, isu seperti Najib, Pas atau hubungan dengan DAP mungkin memberi tekanan dari sudut persepsi, tetapi tidak semestinya menyebabkan perubahan sokongan secara besar-besaran,” katanya.
Mohamad Hafis berkata, pengundi Melayu Johor mempunyai pertimbangan lokal yang kuat dan tidak semua naratif nasional diterima secara terus tanpa melihat realiti politik negeri.
Menurutnya, walaupun BN berdepan beberapa serangan politik nasional, sokongan pengundi Melayu khususnya di kawasan tradisi masih dilihat mempunyai daya tahan kerana sebahagian besar pengundi menilai berdasarkan faktor kestabilan, pengalaman pentadbiran dan rekod kerajaan negeri.
“Faktor kepimpinan negeri, kesinambungan dasar dan keyakinan terhadap kemampuan membawa pembangunan masih menjadi aset penting kepada BN,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, kontroversi tertentu turut membuka ruang kepada PH menggerakkan semula penyokong tradisi mereka.
Menurutnya, pada peringkat awal kempen terdapat tanda-tanda pengundi bukan Melayu dan pengundi bandar agak perlahan dari segi momentum.
“Naratif berkaitan Najib, kebimbangan terhadap pengaruh Pas serta persoalan masa depan politik sederhana berpotensi meningkatkan semula motivasi keluar mengundi dalam kalangan penyokong PH.
“Oleh itu, kontroversi dalam pilihan raya tidak semestinya hanya membawa kesan negatif. Dalam keadaan tertentu, sesuatu isu boleh jadi alat mobilisasi politik yang menguatkan semula sokongan kelompok tertentu,” ujarnya.
Mohamad Hafis berkata, walaupun kontroversi mampu mempengaruhi emosi pengundi dalam jangka pendek, tetapi faktor keyakinan terhadap kepimpinan, kestabilan dan hala tuju masa depan Johor berkemungkinan menjadi pertimbangan utama sebelum pengundi membuat keputusan.