PRN Johor: Beri peluang kami laksanakan manifesto, bukti bukan 'copy paste' - Mohamad Sabu

BATU PAHAT - Pengundi di Johor perlu memberi peluang kepada calon Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) bagi membolehkan mereka membuktikan manifesto yang dilancar beberapa hari lepas bukan sekadar 'copy paste' sebagaimana didakwa parti lawan.

Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jika rakyat tidak mengundi calon PH pada PRN Johor Sabtu ini segala tekad yang terkandung di dalam manifesto PH itu tidak akan dapat ditunaikan. 

"Manifesto ini adalah hasil daripada rakyat juga, kita tawarkan apabila kita mendengar suara rakyat…masalah rakyat dan kita buatkan untuk mengatasi masalah rakyat.

"Kita buat manifesto ini begitu lama setelah turut padang, mendengar suara rakyat dan mendengar rintihan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Johor Dengan Bang Mat di Rengit pada Isnin.

Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, manifesto PH bagi menghadapi PRN Johor itu merupakan satu tawaran dan sesiapa sahaja boleh menulisnya namun yang paling penting adalah pelaksanaannya.

"Insya-ALLAH…jika kita menang nanti pada PRN Johor nanti, seawal 12 haribulan nanti (12 Julai) kita akan laksanakannya, kita akan pastikan ia berjalan,” katanya.

Diminta mengulas sambutan diterima calon dan pimpinan PH pada kempen yang dijalankan di  kawasan luar bandar, beliau berkata, ia kini semakin positif dan mendapat sambutan daripada pengundi.

"Berbeza pada 2018, kita ini (PH) cukup takut nak masuk ke kawasan luar bandar, kampung di Johor, tetapi berbeza sekarang ini…jika berjalan-jalan di pasar atau di mana-mana pasti ada orang akan panggil, menegur kami (pimpinan PH) malah ada yang mahu bergambar dengan kami,” katanya.

Hari pengundian PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala hari pengundian awal bagi anggota pasukan keselamatan pula esok. - Bernama