Dialog PRN: Maszlee patut dialog dengan calon di Simpang Renggam - Onn Hafiz

BATU PAHAT – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan tiada keperluan untuk beliau menyertai Dialog Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bersama calon Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik kerana kedua-duanya tidak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sama.

Menurut beliau, Maszlee bertanding di DUN Puteri Wangsa, manakala beliau mempertahankan kerusi DUN Machap.

“Saya bukan berlawan dengan dia di Simpang Renggam. Dia yang lari daripada Simpang Renggam.

“Jadi kalau dia nak berdebat ataupun berdialog, dia carilah orang di sana. Apa kena-mengena dengan kawasan saya di Machap ataupun Simpang Renggam?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kasi On bersama MB Johor di Homestay Tok Marwan, Semerah di sini pada Isnin.

Pada Ahad, Onn Hafiz mengesahkan tidak akan menghadiri Dialog PRN Johor yang dianjurkan bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro Awani dan Sinar Harian kerana mempunyai komitmen yang telah ditetapkan lebih awal.

Bagaimanapun, pihak penganjur memaklumkan dialog berkenaan tetap diteruskan seperti dijadualkan pada Selasa bagi menyediakan platform kepada rakyat mendapatkan penjelasan mengenai isu-isu semasa menjelang PRN Johor.

Dalam perkembangan sama, Onn Hafiz turut menyindir bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu dengan mendakwa pengundi di kawasan berkenaan masih menuntut janji yang pernah dibuat Maszlee.

“Orang Simpang Renggam masih menuntut janji dia. Dia janji nak beri tol percuma, sampai sekarang tak ditunaikan,” katanya.

Untuk rekod, Maszlee berdepan saingan lima penjuru bagi merebut kerusi DUN Puteri Wangsa pada PRN Johor ke-16.

Sementara itu, DUN Machap menyaksikan saingan satu lawan satu antara penyandang, Onn Hafiz dengan calon PH, Nor Hafiz Roslan.