JOHOR BAHRU - Dakwaan berlaku perbuatan "copy and paste” atau salin dan tampal dalam tawaran manifesto ketika pilihan raya tidak seharusnya timbul, kata Timbalan Setiausaha Agung DAP, Hannah Yeoh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu berkata, sebaliknya, persamaan dalam manifesto yang ditawarkan oleh setiap parti bertanding ialah manifestasi kepada isu rakyat yang perlu ditangani.
"… saya rasa semua calon cakap pasal isu kebajikan dan isu perumahan... semua isu hampir sama untuk setiap parti kerana ini adalah isu rakyat.
"Jadi, kenapa (dipertikaikan) kalau ada manifesto yang nampak sama... bagus untuk rakyat," katanya kepada Bernama selepas program Chit Chat Wanita dan Pelancaran Tawaran Untuk Tiram di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 adalah "copy and paste” manifesto Barisan Nasional (BN).
Mengulas mengenai profil calon, Hannah berkata, DAP membuktikan komitmen ke arah pemerkasaan wanita apabila mempertaruhkan lapan calon dalam kalangan kaum hawa daripada keseluruhan 17 kerusi yang ditandingi parti itu.
Beliau berkata, calon wanita yang diketengahkan mempunyai potensi untuk diangkat sebagai pembuat dasar dan berupaya terlibat dalam portfolio besar malah layak memegang jawatan Menteri Besar, sekiranya diberi mandat.
Sebagai contoh, Hannah berkata, calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Nor Zulaila Abd Ghani memiliki pengalaman yang luas selama 12 tahun dalam pentadbiran di peringkat pihak berkuasa tempatan, negeri dan Persekutuan.
"Kita ada calon yang bagus... Lily (Nor Zulaila)... saya rasa dia cabar isu stereotaip dan istimewa kerana ibu Melayu, bapa Cina... jadi, calon seperti ini boleh matikan isu perkauman," katanya.
Pada PRN ke-16, Nor Zulaila berdepan saingan empat penjuru menentang calon BN, Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan Perikatan Nasional (PN).
PRN Johor menyaksikan seramai 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini manakala undi awal pada 7 Julai. - Bernama