PRN Johor bukan medan tentukan nasib individu - Fahmi

BATU PAHAT - Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan medan untuk menentukan nasib mana-mana individu, sebaliknya platform penting buat rakyat memilih kepimpinan yang berupaya mencorak masa depan negeri lebih baik.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan naratif yang cuba mengaitkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dengan sokongan terhadap seorang bekas perdana menteri sebagai sesuatu yang mengejutkan, malah mampu membuka mata pengundi.

"Kita tidak keluar mengundi untuk perihal peribadi. Ini adalah untuk rakyat, untuk bangsa Johor dan masa depan negeri. Saya sedikit risau dengan kenyataan itu dan saya percaya ramai dalam kalangan rakyat dapat memahami apa yang perlu mereka lakukan,” katanya.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi ditemui pemberita selepas program ramah mesra bersama penduduk Kampung Istana di sini pada Sabtu, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram, Felicia Poh Rui Ling.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Datuk Nazifuddin Mohd Najib yang mendakwa kemenangan BN pada PRN Johor nanti sebagai isyarat rakyat mahu bapanya Datuk Seri Najib Razak diampunkan.

Mengulas sokongan pengundi bukan Melayu yang dikatakan bukan lagi "deposit tetap" DAP, Fahmi mengingatkan bahawa tiada mana-mana parti politik boleh memandang mudah sokongan rakyat sebagai sesuatu yang kekal.

"Sokongan daripada rakyat bukan sahaja perlu diusahakan dan diperoleh, tetapi juga perlu dijaga. Saya percaya ramai rakyat mendambakan sesuatu yang lebih baik.

"Apabila mereka mendengar kenyataan yang merisaukan dan menggerunkan, mungkin itu akan membuatkan mereka lebih celik mata dan faham bahawa undi mereka bukan sekadar rahsia tetapi terlalu berharga untuk menentukan masa depan bukan hanya negeri, malah negara,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, sokongan yang ditunjukkan beberapa individu daripada parti lawan terhadap calon PH membuktikan gabungan itu mempunyai daya tarikan tersendiri pada PRN Johor.

Beliau berkata, sebagai contoh sebelum ini ramai beranggapan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi ialah penyokong tetap UMNO-BN, tetapi terbukti hari ini sebaliknya.

"Mungkin dalam kalangan UMNO Johor mereka anggap (Johor) sebagai undi tetap ataupun ‘deposit tetap’, kenyataan Mohd Puad membuktikan ia bukan lagi ‘deposit tetap’ kepada UMNO Johor,” katanya.

Beliau memberikan contoh situasi di DUN Rengit serta sokongan daripada ahli Bersatu kepada calon PH di Sri Medan, Hishamuddin @ Misrin Ishak, sebagai menunjukkan semakin ramai mula menyatakan sokongan kepada PH.

"Apabila Mohd Puad mengeluarkan kenyataan menyokong calon PH di DUN Rengit, dan sebelum ini kita melihat ada anggota Bersatu menyokong calon PH di Sri Medan, tidak mustahil dalam hari-hari mendatang lebih ramai akan membuat kenyataan seperti itu.

"Ini sekali lagi membuktikan PH mempunyai daya tarikan tersendiri (dan) terbukti juga bahawa kepimpinan Perdana Menteri bukan sahaja memberi imej yang baik kepada negara, malah memacu kebangkitan semula ekonomi negara, termasuk di Johor,” katanya.

PRN Johor menyaksikan seramai 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/. - Bernama