Peluang PH, BN seimbang

SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dianggap paling unik dan kompleks apabila Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak bergabung walaupun kedua-duanya bekerjasama membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

Memasuki fasa terakhir minggu pertama kempen, secara realitinya pertembungan masih berpusat kepada BN dan PH sebagai blok paling dominan meskipun cuba disaingi Perikatan Nasional (PN).

Namun peluang BN untuk menang dengan selesa dilihat belum terjamin meskipun dianggap mempunyai kelebihan mengambil kira kedudukan sebagai kerajaan semasa dan mendapat sokongan terbuka Pas.

Ini memandangkan faktor utama yang menjadi penentu kemenangan sesebuah parti bertanding ialah peratusan jumlah keluar mengundi.

Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata, secara asasnya BN dilihat berada sedikit di hadapan, namun kelebihan itu belum cukup selesa untuk dianggap selamat.

Ujarnya, BN dan PH masih mempunyai peluang seimbang untuk memenangi pilihan raya kali ini dengan syarat kedua-dua blok itu bijak mengatur strategi bagi memenangi hati rakyat khususnya golongan muda yang mewakili hampir separuh pengundi di negeri berkenaan.

“BN ketika ini mempunyai kelebihan dari sudut jentera akar umbi yang tersusun, kekuatan calon di beberapa kerusi tradisi, serta naratif kestabilan politik yang agak mudah diterima oleh pengundi sederhana dan pengundi atas pagar.

“Di kawasan luar bandar serta semi bandar yang majoritinya pengundi Melayu, BN dilihat masih mempunyai asas sokongan kukuh. BN dilihat sedikit berada di hadapan, namun kelebihan itu belum cukup selesa untuk dianggap selamat,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Ditanya mengenai mood pengundi, Hussain Yusri berkata, kebanyakan rakyat di negeri itu masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan.

Menyentuh mengenai isu yang dijangka boleh mempengaruhi pengundi di Johor, beliau berkata, kenaikan harga barang, tekanan ekonomi isi rumah dan peluang pekerjaan antara isu paling kerap dibangkitkan sepanjang tempoh berkempen.

Selain itu, katanya, faktor bangsa dan agama juga mempengaruhi isu yang dibangkitkan pengundi.

“Dalam kalangan pengundi Melayu, isu yang dominan termasuk kos sara hidup, kepimpinan Melayu, kestabilan politik serta naratif muafakat ummah. Persaingan antara PN dan BN khususnya memberi dimensi baharu kerana kedua-duanya cuba menampilkan diri sebagai pilihan terbaik bagi pengundi Melayu.

“Bagi pengundi Cina, isu ekonomi, kestabilan dasar, peluang perniagaan dan tadbir urus biasanya lebih dominan. Mereka lazimnya memberi perhatian kepada kestabilan politik yang boleh menjamin keyakinan pelaburan dan pertumbuhan ekonomi,” ujarnya.

Bagi pengundi India pula, ujar beliau, isu kebajikan sosial, pendidikan, peluang ekonomi dan akses kepada bantuan kerajaan sering menjadi pertimbangan utama.

Dari sudut kempen gabungan yang lebih berkesan, Hussain Yusri berkata, setiap blok mempunyai kekuatan tersendiri.

Ujarnya, BN dilihat menonjolkan naratif kestabilan, pengalaman mentadbir dan kekuatan jentera akar umbi, sekali gus memberi kelebihan terutama di kawasan tradisi Melayu luar bandar.

Sementara PN pula, katanya, lebih menumpukan kepada naratif penyatuan Melayu-Islam, integriti dan politik berteraskan nilai.

“PH pula cuba menarik sokongan melalui agenda reformasi, tadbir urus baik dan penekanan kepada isu ekonomi rakyat. Kekuatan PH lebih ketara di kawasan bandar dan kawasan bercampur.

“Secara keseluruhan, persaingan masih terbuka. Namun pada tahap ini, gabungan yang berjaya menggerakkan penyokong keluar mengundi secara efektif berpotensi mendahului,” katanya.