SHAH ALAM – Tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi dengan majoriti kurang 1,000 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada tahun 2022 dijangka menjadi medan pertarungan paling kritikal dalam pilihan raya kali ini.
Kerusi tersebut ialah N02 Jementah, N07 Bukit Kepong, N08 Bukit Pasir, N10 Tangkak, N11 Serom, N21 Parit Yaani dan N51 Bukit Batu.
Bagaimanapun, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian meramalkan tiada mana-mana gabungan parti atau parti yang bergerak secara solo berupaya menyapu bersih kesemua kerusi berkenaan yang kini menjadi tumpuan ramai.
"Saya tidak melihat senario yang realistik untuk satu parti menyapu bersih kesemua tujuh kerusi tersebut. Sebaliknya, keputusan dijangka lebih bercorak campuran berdasarkan kekuatan jentera, profil calon dan faktor setempat," katanya kepada Sinar Harian.
**media[3569477]**
Pada PRN Johor 2022, DUN Bukit Batu yang disandang Pakatan Harapan (PH) menerusi calon PKR, Arthur Chiong merupakan kerusi paling marginal apabila dimenangi dengan majoriti hanya 137 undi.
Ini disusuli DUN Bukit Pasir yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 198 undi, Parit Yaani (BN-294 undi), Tangkak (PH-372 undi), Serom (BN-699 undi), Bukit Kepong (PN - 710 undi) dan Jementah (PH - 714 undi).
Arthur, 36, yang juga Ketua PKR Cabang Kulai memenangi kerusi Bukit Batu dengan 9,439 undi dalam pertandingan empat penjuru apabila menewaskan pencabar terdekat iaitu calon BN, Datuk S Suppayah yang memperoleh 9,302 undi.
Pada PRN Johor kali ini, PH masih mempertaruhkan Arthur di kerusi tersebut dan bakal berdepan pertandingan lima penjuru.
Sementara itu, Sivamurugan berkata, majoriti tipis yang direkodkan di ketujuh-tujuh kerusi berkenaan menjadikannya amat sensitif terhadap sebarang perubahan sokongan pengundi.
Ujarnya, walaupun parti penyandang masih mempunyai sedikit kelebihan dari aspek rekod perkhidmatan dan penguasaan jentera, namun kelebihan itu tidak boleh dianggap selesa.
"Secara keseluruhannya ketujuh-tujuh kerusi ini boleh dianggap sebagai kerusi panas kerana majoritinya yang tipis menjadikannya amat sensitif terhadap perubahan sokongan pengundi," katanya.
Pengundi muda
Sivamurugan selain itu berkata, sebarang perubahan kecil dalam pola pengundian khususnya melibatkan pengundi atas pagar dan pengundi muda sudah memadai untuk mengubah keputusan di kerusi-kerusi tersebut.
Beliau percaya kerusi-kerusi tersebut berpotensi menjadi penentu kepada pembentukan majoriti keseluruhan.
"Dalam pilihan raya yang kompetitif, sentimen semasa sering menjadi faktor yang membezakan kemenangan dan kekalahan khususnya pada kerusi majoriti tipis," katanya.
Menurut beliau, isu berkaitan kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi tempatan, kecekapan pentadbiran serta kredibiliti calon dijangka lebih dominan berbanding retorik politik semata-mata.
"Pada masa sama, pertambahan pengundi muda dan pengundi baharu menjadikan pola pengundian lebih sukar diramal.
"Kumpulan ini lazimnya kurang mempunyai kesetiaan yang kuat kepada mana-mana parti dan lebih cenderung membuat penilaian berdasarkan isu semasa, prestasi kerajaan serta imej calon," ujarnya.
Justeru, katanya, kejayaan satu-satu parti di kerusi marginal terbabit bergantung kepada sejauh mana mereka mampu menggerakkan pengundi keluar mengundi dan meyakinkan kelompok atas pagar.
Mengenai aspek demografi pula, Sivamurugan berkata, ketujuh-tujuh kerusi panas itu mempunyai komposisi pengundi yang pelbagai kerana melibatkan kawasan bandar, separa bandar dan luar bandar.
Ujar beliau, keadaan berkenaan menyebabkan tiada satu formula yang boleh digunakan bagi meramalkan keputusan di semua kerusi tersebut.
"Di kawasan lebih urban dan mempunyai pengundi muda serta kelas pertengahan lebih besar, isu tadbir urus, peluang ekonomi dan kos sara hidup lazimnya memberi kesan lebih besar.
"Di kawasan separa bandar dan luar bandar pula, faktor pembangunan setempat, hubungan calon dengan masyarakat, jaringan parti serta keupayaan menyelesaikan masalah harian pengundi masih memainkan peranan penting," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Albert Tei mahu lawan Anthony Loke di PRN Negeri Sembilan
'Jangan terkejut apa PH akan tawarkan kepada rakyat Johor'
PH kini antagonis nombor satu PRN Johor?
PH tawar agenda pembangunan mampan, gilap potensi Johor - Amirudin
PKR serah senarai calon bagi PRN Negeri Sembilan - Aminuddin
Nak bertanding di Negeri Sembilan, Anthony ingatkan Albert tukar alamat dahulu
Tambah Sivamurugan, dari sudut kekuatan gabungan parti, tiada satu pun gabungan yang dilihat mempunyai kelebihan mutlak.
Namun, katanya, PH dilihat berpotensi mempertahankan kawasan yang mempunyai kecenderungan pengundi bandar serta masyarakat pelbagai kaum.
"BN pula masih mempunyai asas sokongan yang kukuh di beberapa kawasan tradisi melalui kekuatan organisasi dan jaringan akar umbi.
"Sementara PN masih mampu mencabar di kawasan yang mempunyai sokongan Melayu yang signifikan, bergantung kepada tahap pemindahan undi serta keberkesanan kempen," katanya.