Pas 'permudah kerja' BN

SHAH ALAM – Arahan Pas supaya ahli dan penyokongnya mengundi calon UMNO-Barisan Nasional (BN) di 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) dilihat sebagai strategi politik yang membuka laluan kemenangan lebih mudah kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Langkah itu sekali gus memberi isyarat bahawa tumpuan Pas lebih kepada penyusunan semula sokongan politik Melayu di peringkat akar umbi bagi mengelakkan perpecahan undi yang boleh menguntungkan Pakatan Harapan (PH).

PN pada PRN Johor kali ini hanya meletakkan 33 calon daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan Bersatu 16 kerusi, Pas 11 kerusi, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) lima kerusi dan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) satu kerusi sekali gus menyaksikan 23 kerusi tidak ditandingi gabungan itu.

Situasi berkenaan menjadi lebih menarik apabila Pas secara terbuka mengarahkan penyokongnya memberikan sokongan kepada BN yang bertanding di semua 56 kerusi DUN Johor secara solo.

Selain arahan undi kepada BN, Pas juga hanya bertanding di 11 kerusi DUN dengan sasaran menjadi blok pembangkang bagi memastikan Johor kekal ditadbir oleh orang Melayu Islam seperti dinyatakan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, jangkaan BN akan menang mudah kerana diyakini akan berlaku pemindahan undi daripada Pas kepada BN di 23 kerusi DUN yang tidak ditandingi PN.

Beliau menegaskan, pemindahan undi itu akan berlaku kerana penyokong dan ahli Pas mengamalkan konsep wala’ atau kecintaan dan kesetiaan kepada parti serta pemimpin mereka.

“Meskipun kita tidak boleh pastikan 100 peratus penyokong dan ahli Pas yang akan mengubah undi ke UMNO-BN tetapi jika 95 peratus amalkan wala’ sebenar, calon UMNO-BN pasti akan menang mudah di kawasan-kawasan berkenaan.

“Berdasarkan analisis dan semakan keputusan PRN Johor 2022, 23 kerusi yang tidak ditandingi PN kali ini memiliki sekitar 120,000 undi PN, secara purata sekitar 18 hingga 19 peratus daripada undi di kerusi-kerusi tersebut. Jadi ia bukan kawasan yang kosong sokongan,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Sinar Ahad melaporkan Pas mengeluarkan arahan kepada semua ahli dan penyokong parti itu untuk mengundi calon UMNO-BN di DUN yang tidak ditandingi PN dalam PRN Johor pada 11 Julai depan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, arahan tersebut dikeluarkan bagi memastikan sokongan diberikan kepada UMNO-BN di kawasan yang tidak mempunyai calon daripada gabungan berkenaan.

Mengulas lanjut Mohammad Tawfik menjelaskan, PN pernah memperoleh undi agak bergaya walaupun tewas di Benut dengan 5,037 undi, Pulai Sebatang (5,967), Larkin (9,875), Kempas (8,036), Perling (8,829), Puteri Wangsa (8,957) dan Johor Jaya (8,307).

Justeru, katanya, perkembangan itu memberi gambaran awal bahawa hubungan Pas dan UMNO-BN mula menunjukkan tanda pemulihan selepas berakhirnya kerjasama politik parti tersebut dengan Bersatu dalam PN.

“Situasi ini menunjukkan bibit-bibit isyarat dan mesej jelas hubungan Pas dengan UMNO-BN sedang semakin pulih setelah berakhirnya kerjasama rasmi dengan Bersatu.

“Pas juga telah bagi arahan dan kenyataan bahawa tiada bantuan jentera diberikan kepada Bersatu, tetapi dialihkan sokongan kepada BN. Tidak mustahil selepas PRN Johor, Pas akan beri sokongan kepada BN untuk pembentukan kerajaan Johor yang baharu,” ujarnya.

Kelebihan berganda buat BN

Ulasnya, perkara tersebut pernah dilakukan oleh Pas menerusi PN di Negeri Sembilan apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN menarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dan kemudiannya Pas/PN menyerahkan surat akuan bersumpah (SD) sokongan kepada UMNO-BN untuk membentuk kerajaan.

Senada dengan Mohammad Tawfik, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, pemindahan undi pengundi atau penyokong Pas diramal memberi kelebihan berganda kepada BN.

Menurutnya, sokongan pengundi Pas berpotensi meningkatkan majoriti dan memperkukuhkan kemenangan BN di kawasan-kawasan terlibat.

“Walaupun mungkin terdapat jumlah undi PN yang tidak begitu signifikan di kerusi-kerusi itu pada PRN Johor sebelum ini, namun jumlah berkenaan dijangkakan meningkat kerana pertambahan pengundi muda dan sebagainya.

“Saya melihat perkara ini sebagai faktor yang tidak boleh diketepikan kerana kita perlu faham bahawa sistem pilihan raya di Malaysia ini bersifat first-past-the-post di mana walau hanya kelebihan satu undi sekalipun, parti itu tetap dikira sebagai pemenang.

‘’Jadi dalam erti kata lain, saya tidak nampak bahawa pengundi PN akan memboikot BN tetapi ia adalah di sebaliknya. Apa yang bakal berlaku adalah pertambahan undi dan sekali gus memenangkan calon BN,’’ kata beliau.

Mengulas mengenai kenyataan Abdul Hadi bahawa Pas bertanding di 11 kerusi DUN bagi memastikan agenda Melayu-Islam terus kekal memerintah Johor, Ariff Aizuddin menyifatkan ia jelas menunjukkan sikap Pas yang anti-DAP dan anti-PH selain objektif utama mereka untuk menafikan prestasi PH pada PRN Johor nanti.

‘’Jadi untuk membentuk kerajaan negeri di Johor, dakwanya, Pas memberikan isyarat bahawa BN adalah parti yang sesuai kerana agenda ketuanan Melayu mereka yang didukungi sepanjang masa.

‘’Saya melihat ini bukan satu perkara yang baharu, malah naratif ini akan berulang semula di dalam PRN Negeri Sembilan dan seterusnya,’’ ujar beliau lagi.