Corak pengundi sudah beralih arah

SHAH ALAM - Walaupun masih menjadi dokumen rasmi yang menggariskan hala tuju sesebuah parti, manifesto sudah hilang pengaruh dalam menentukan sokongan pengundi pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang sedang berlangsung kini.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad sebaliknya berkata, corak pengundi kini sudah beralih arah kepada kecenderungan menilai kemampuan parti dan calon menterjemahkan janji kepada satu pelaksanaan yang berkesan.

Beliau berkata, kestabilan politik, rekod prestasi calon serta keupayaan menyelesaikan isu ekonomi lebih dipandang berbanding menawarkan manifesto yang bersifat populis.

"Manifesto sebenarnya tidak lagi dianggap oleh majoriti rakyat serta pengundi sebagai perkara paling penting atau penentu mutlak dalam keputusan pilihan raya.

"Pengundi kini menilai kredibiliti pelaksanaan berbanding janji kosong.

"Walaupun dokumen manifesto ini kekal sebagai rujukan rasmi hala tuju sesebuah parti, pengaruh sebenarnya beralih secara pragmatik. Daripada nilai janji politik yang asalnya untuk memancing undi kepada kayu ukur menguji seriusnya sesebuah gabungan parti politik mentadbir negeri," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Syahruddin bagaimanapun berkata, dengan perkembangan landskap politik semasa, manifesto kini lebih dilihat sebagai pelengkap atau faktor sokongan sekunder.

"Sentimen semasa di sesuatu kawasan, tahap keserasian jentera parti dalam gabungan serta isu-isu tempatan yang unik dan dekat dengan kehidupan kelompok pengundi merupakan faktor utama mempengaruhi kecenderungan membuat pilihan di atas kertas undi," ujarnya.

Beliau turut berpandangan, setiap parti yang bertanding pada PRN Johor perlu menawarkan manifesto lebih realistik dan berpaksikan keperluan rakyat di negeri tersebut.

"Isu kos sara hidup, peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan infrastruktur mengikut keperluan daerah, kebajikan golongan rentan serta agenda pembangunan belia perlu menjadi keutamaan," ujarnya.

Tambah beliau, kedudukan Johor yang bersempadan dengan Singapura memerlukan tawaran konkrit bagi memperkukuhkan pasaran pekerjaan tempatan, sekali gus mengurangkan penghijrahan tenaga mahir ke negara jiran serta memperluaskan penyediaan rumah mampu milik.

"Pada pandangan saya, setiap gabungan parti politik sepatutnya mengelakkan pendekatan politik identiti dan janji politik yang melampau dan keterlaluan. Sebaliknya fokuskan kepada pemulihan ekonomi pasca pandemik yang konsisten dan logik," kata beliau.