Blok Progresif diramal sukar bersaing dengan parti lawan

SHAH ALAM – Kerjasama politik baharu antara Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menerusi pembentukan Blok Progresif diramal berdepan laluan sukar untuk mencapai kejayaan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berpandangan, kedua-dua parti berkenaan masih kurang dikenali dalam kalangan pengundi.

“Saya melihat agak sukar untuk kerjasama ini diterjemahkan ke dalam bentuk kejayaan yang besar kerana MUDA dan PSM itu tidak begitu popular dan dikenali sepenuhnya dalam kalangan pengundi.

“Dalam erti kata lain, Blok Progresif ini perlu mewujudkan satu momentum dan cuba menjual satu naratif baharu agar boleh dikenali,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, PSM dan MUDA dilapor mengumumkan pembentukan kerjasama politik baharu yang dikenali sebagai Blok Progresif bagi menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Ariff Aizuddin turut menjangkakan Blok Progresif bakal menghadapi jalan sukar untuk menjenamakan diri ekoran landskap politik semasa yang menyaksikan kemunculan pelbagai parti.

"Senario kali ini, sama ada dalam PRN atau pun Pilihan Raya Umum (PRU) adalah agak berbeza kerana bakal dihimpit dengan persaingan pelbagai jenis parti. Ini adalah satu bentuk ketidaksatuan yang akan membuatkan pengundi semakin keliru dengan pilihan dan alternatif yang terlalu banyak.

"Kalau mencatat prestasi pun, saya ramal blok ini hanya boleh menang sekitar satu atau dua kerusi sahaja pada PRN Johor dan Negeri Sembilan nanti," ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berpendapat, kejayaan sebenar blok tersebut bergantung kepada sama ada strategi pembahagian kerusi mereka berjaya mengurangkan persaingan tiga penjuru di kawasan tertentu dan bukan semata-mata jumlah kerusi yang dimenangi.

Menurutnya, calon kedua-dua parti juga akan bertanding menggunakan logo masing-masing dan ia belum membentuk gabungan rasmi.

"Dari segi bilangan kerusi dan jentera, PSM dan MUDA memang kekal parti kecil berbanding gergasi seperti Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

"Bagaimanapun, kerjasama ini bukan bertujuan untuk menjadi kuasa pemerintah, tetapi lebih kepada strategi mengelak pertembungan kerusi dan memaksimumkan suara progresif yang mungkin terpinggir jika bertanding berasingan," ulasnya.

Menurutnya, calon kedua-dua parti juga akan bertanding menggunakan logo masing-masing dan ia belum membentuk gabungan rasmi.

Namun, beliau berkata, sekiranya Blok Progresif berjaya mencatat prestasi yang munasabah pada PRN Johor dan Negeri Sembilan, ia berpotensi menjadi platform untuk model kerjasama lebih besar menjelang PRU.

“Jika Blok Progresif menunjukkan prestasi munasabah di kedua-dua PRN ini, ia berpotensi menjadi ‘ujian pasaran’ untuk model serupa di peringkat PRU, terutamanya bagi mengelakkan pembahagian undi di kawasan bandar dan separa bandar.

“Tetapi kejayaan sebenar lebih bergantung kepada penerimaan pengundi terhadap jenama ‘progresif’ itu sendiri, bukan semata-mata struktur kerjasama parti,” kata beliau.