SHAH ALAM - Tujuh hari menjelang penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tiga nama disebut-sebut bakal diangkat sebagai calon Menteri Besar Johor, sekali gus menjadi poster boy bagi Pakatan Harapan (PH).
Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, walaupun PH belum mengumumkan calon Menteri Besar secara rasmi.
Namun katanya, ketiga-tiga pemimpin tersebut menjadi antara individu yang dilihat memiliki pakej kepimpinan dan boleh memberi saingan kepada penyandang, Datuk Onn Hafiz Ghazi sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan selepas PRN yang berlangsung 11 Julai depan.
Mereka ialah bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kayat.
"Dr Maszlee mempunyai imej intelektual dengan latar belakang akademik yang kukuh selain berkebolehan bertutur dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Ini memberi kelebihan dari segi penampilan serta kepimpinan.
"Aminolhuda pula merupakan pemimpin yang berpengalaman dan sudah lama berada dalam politik serta pernah memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri Johor," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Mazlan berkata, Suhaizan yang juga bekas Speaker DUN Johor dilihat sebagai pemimpin generasi baharu berketerampilan serta mempunyai latar belakang akademik cemerlang.
"Beliau juga merupakan anak tempatan dan faktor itu boleh memberi kelebihan dari sudut penerimaan pengundi khususnya dalam kalangan masyarakat setempat.
"Namun persaingan dalam PRN Johor tidak hanya bergantung kepada calon Menteri Besar semata-mata, sebaliknya dipengaruhi rekod pentadbiran parti," ujarnya.
Mazlan bagaimanapun berpandangan, corak pengundian di Johor akan dipengaruhi oleh kadar keluar mengundi terutama membabitkan pengundi bandar dan bukan Melayu.
Jelas beliau, sekiranya kadar keluar mengundi sekitar 55 peratus, Barisan Nasional (BN) berpotensi kekal sebagai kerajaan negeri.
"Tapi jika peratusan keluar mengundi meningkat sehingga 75 peratus atau lebih, PH mempunyai peluang lebih baik kerana sokongan pengundi bukan Melayu dan pengundi luar dijangka meningkat," kata beliau.
Sementara itu, Aminolhuda ketika dihubungi Sinar Harian enggan mengulas lanjut berhubung namanya dikatakan berpotensi menjadi poster boy PH.
"Tunggu siapa yang menang," tulisnya ringkas menerusi WhatsApp,
Sebelum ini, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa memaklumkan, PH dijangka mengumumkan senarai calon PRN Johor pada Isnin depan.