RoS perjelas status Parti Wawasan Rakyat, Parti Wawasan Negara dan Parti Cinta Malaysia

SHAH ALAM - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengesahkan permohonan pertukaran nama Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) kepada Parti Wawasan Rakyat telah diterima dan kini dalam proses penelitian.

Prosedur dibuat selaras peruntukan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984 dan undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang permohonan rasmi bagi penubuhan parti politik baharu yang menggunakan nama Parti Wawasan Negara.

Jelas beliau, sebarang pertimbangan berhubung penggunaan nama tersebut hanya boleh dibuat setelah permohonan yang lengkap diterima dan dinilai berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Penilaian akan merangkumi pelbagai aspek termasuk sama ada nama dicadangkan boleh menimbulkan kekeliruan dengan mana-mana pertubuhan atau parti politik yang sudah berdaftar.

"Di samping itu, pihak pendaftar mengambil kira identiti keseluruhan parti yang dicadangkan. RoS akan terus laksana tanggungjawab secara profesional, telus dan adil dalam mempertimbang setiap permohonan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Media sebelum ini melaporkan, Sedar mendakwa pihaknya meluluskan pindaan untuk menukar nama parti kepada Parti Wawasan Rakyat.

Namun, ia sekali gus berpotensi menimbulkan isu pertindihan nama dengan parti baharu diasaskan Datuk Seri Hamzah Zainudin iaitu Parti Wawasan Negara.

Atas dasar itu, Presiden Sedar, Affendi Jeman menggesa RoS menangani isu tersebut memandangkan partinya telah memohon secara rasmi untuk menukar nama pada 8 April lalu.

Menurut beliau, pertukaran nama berkenaan diluluskan secara sebulat suara oleh perwakilan kongres tahunan Sedar yang berlangsung pada Februari lepas.

Ditanya tentang kebenaran mendaftar nama parti yang lebih kurang sama, Mohd Zulfikar memaklumkan, penentuan sama ada sesuatu nama itu boleh mengelirukan atau sebaliknya bergantung kepada pertimbangan dan pendapat pendaftar mengikut fakta serta keadaan setiap kes.

Dalam membuat pertimbangan itu, beliau menjelaskan bahawa pendaftar akan menilai keseluruhan nama cadangan termasuk penggunaan perkataan yang bersifat umum atau lazim digunakan dalam penamaan pertubuhan dan parti politik.

"Contohnya penggunaan perkataan 'Wawasan', 'United' atau istilah umum lain tidak semestinya menyebabkan sesuatu permohonan ditolak sekiranya pada pendapat pendaftar, ia tidak menimbulkan kekeliruan dengan mana-mana pertubuhan mahupun parti politik yang sudahpun berdaftar.

"Dalam konteks parti politik berdaftar, ada yang menggunakan perkataan hampir sama seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Bersatu Sabah (PBS). Selain itu, Parti Bersatu Sasa Malaysia (Bersama) dan Parti Bersama Malaysia.

"Tetapi, setiap parti mempunyai identiti, singkatan nama, logo, lambang dan ciri-ciri pengenalan yang berbeza sehingga dapat dibezakan dengan jelas," ujar beliau.

Mohd Zulfikar menambah, pihaknya turut mengambil kira elemen logo, lambang, bendera, singkatan nama dan ciri-ciri lain yang digunakan parti-parti bagi tujuan pengenalpastian.

"Perbezaan ketara pada elemen-elemen tersebut antara faktor yang boleh membantu mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat," jelasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zulfikar memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang permohonan pindaan nama daripada Parti Cinta Malaysia.

Ia susulan Hamzah didakwa bakal mengambil alih parti itu, namun enggan mengulas lanjut perkara tersebut apabila ditanya pemberita.

Mohd Zulfikar menegaskan, sebarang cadangan menukar nama sesebuah pertubuhan atau parti politik mesti dikemukakan secara rasmi kepada RoS.