SHAH ALAM – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan berlangsung pada 11 Julai depan berpotensi mempengaruhi momentum politik menjelang PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos.
Penganalisis politik, Dr Mohamad Hafis Amat Simin berkata, tempoh kira-kira tiga minggu antara kedua-dua pilihan raya itu menjadikan Johor sebagai medan ujian awal yang akan menentukan momentum, naratif dan strategi parti-parti politik sebelum memasuki gelanggang Negeri Sembilan.
Menurut beliau, landskap politik kali ini berbeza berbanding pilihan raya terdahulu apabila pertandingan tidak lagi tertumpu kepada beberapa gabungan besar seperti sebelum ini.
“Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) memilih untuk bergerak secara solo, manakala Pas dan Bersatu pula tidak lagi berada dalam blok politik yang sama.
“Pada masa sama, kemunculan parti-parti alternatif seperti Muda, Parti Bersama Malaysia dan Gerakan Reset dijangka menambah lagi kerumitan persaingan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, Johor akan menjadi medan pertama untuk menentukan parti yang lebih dominan dalam kalangan pengundi selepas berlakunya perubahan dalam blok-blok politik utama.
Menurutnya, keputusan yang dicatatkan di negeri itu juga akan menjadi ukuran penting terhadap kekuatan parti-parti yang bertanding sebelum tumpuan beralih ke Negeri Sembilan.
Mengulas sama ada keputusan Johor akan memberi impak kepada Negeri Sembilan, Mohamad Hafis berkata, keputusan tersebut hampir pasti akan membentuk momentum dan persepsi.
“Jika mana-mana parti mencatat kemenangan besar, ia akan memasuki Negeri Sembilan dengan keyakinan yang lebih tinggi, jentera yang lebih bermotivasi dan naratif kemenangan yang boleh mempengaruhi pengundi.
“Sebaliknya, parti yang mengalami kemerosotan akan berdepan tekanan untuk mengubah strategi dalam tempoh yang singkat,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pengaruh Johor terhadap Negeri Sembilan tidak semestinya berlaku secara automatik kerana negeri itu mempunyai dinamik politik yang tersendiri.
Katanya, komposisi pengundi Negeri Sembilan lebih seimbang antara Melayu, Cina dan India manakala pola pengundiannya sering dipengaruhi oleh isu tempatan, prestasi wakil rakyat dan faktor calon.
Selain itu, beliau berkata, Negeri Sembilan turut mempunyai satu dimensi tambahan yang tidak wujud secara signifikan di Johor iaitu faktor institusi diraja.
Menurutnya, sistem pemerintahan Negeri Sembilan yang berteraskan Yang di-Pertuan Besar dan Undang Yang Empat menjadikan sebarang isu atau polemik melibatkan institusi berkenaan mendapat perhatian khusus dalam kalangan rakyat.
Sementara itu, penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid berpandangan, kemenangan besar sesebuah parti atau gabungan di Johor boleh mewujudkan persepsi parti berkenaan mendapat sokongan rakyat dan mandat yang kuat.
Katanya, persepsi sebagai parti menang dan mendapat mandat rakyat berupaya membantu menarik pengundi atas pagar serta penyokong yang kurang aktif.
Pada masa sama, keputusan di Johor juga berpotensi mempengaruhi suasana politik menjelang PRN Negeri Sembilan.
"Kemenangan di Johor turut boleh meningkatkan keyakinan jentera parti berkempen di Negeri Sembilan. Sebaliknya, kekalahan boleh menjejaskan moral jentera dan memaksa parti mengubah strategi pada saat akhir bagi menghadapi persaingan di negeri tersebut.
"Keputusan berkenaan juga dijangka menjadi isu dan perang persepsi utama sepanjang tempoh kempen di Negeri Sembilan. Parti yang mencatat kemenangan akan menggunakan keputusan tersebut sebagai bukti bahawa mesej yang dibawa mereka diterima oleh rakyat," katanya.
Selain itu, parti-parti yang bertanding dijangka meneliti keputusan Johor mengikut kawasan, kaum, umur dan pola pengundian yang mana dapatan tersebut boleh digunakan untuk menyesuaikan calon, isu kempen dan pendekatan yang akan digunakan di Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan impak tersebut mempunyai limitasi kerana Johor dan Negeri Sembilan mempunyai komposisi pengundi, isu tempatan dan landskap politik yang berbeza.
Menurutnya, gelombang yang berasaskan isu nasional seperti kos sara hidup, ekonomi, kepimpinan kerajaan Persekutuan, integriti atau rasuah lebih mudah merebak merentasi negeri, manakala gelombang yang berpunca daripada faktor tempatan Johor lazimnya mempunyai kesan yang lebih terhad.