KUALA LUMPUR - Pas mengesahkan hasrat mengambil alih jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu tanpa syarat dengan persetujuan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Keputusan itu sekali gus menamatkan spekulasi berhubung krisis kekosongan dan pertikaian jawatan tertinggi gabungan parti pembangkang berkenaan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengesahkan perkara itu berkata, ia sudah dipersetujui dalam siri perbincangan kepimpinan tertinggi parti itu bersama Muhyiddin dan akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijangka berlangsung hujung bulan ini.
Menurut beliau, Pas mengekalkan pendirian tidak pernah membincangkan cadangan untuk memansuhkan jawatan Pengerusi PN kerana berpandangan struktur kepimpinan gabungan berkenaan perlu dikekalkan bagi memastikan kestabilan organisasi.
“Cuma mengapa Pas tidak mengumumkan perkara itu lebih awal? Kita juga tidak nyatakan siapa calon Pengerusi PN daripada Pas lagi.
“Ini kerana selagi mesyuarat Dewan Tertinggi PN tidak memuktamadkan keputusan peletakan jawatan Muhyiddin, selagi itu Pas merasakan tidak wajar untuk kita mengumumkan pengambilalihan jawatan itu lebih awal,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian di bangunan Parlimen di sini pada Khamis.
**media[3425440]**
Kekosongan jawatan Pengerusi PN yang masih belum diisi sehingga kini mencetuskan tanda tanya mengenai masa depan gabungan tersebut.
Polemik berterusan turut ‘menggagalkan’ usaha Pas menamakan calon pemimpinnya sebagai pengganti Pengerusi PN apabila agenda Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN yang dijadualkan pada 29 Januari lalu dibatalkan.
Sebaliknya Muhyiddin mengundang ketua parti komponen utama gabungan itu iaitu Pas, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bertemu di kediamannya pada 29 Januari.
Bagaimanapun, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak muncul dalam pertemuan itu, sekali gus mencetuskan naratif bibit perpecahan semakin kronik.
Dalam satu surat tular dipercayai ditulis Muhyiddin kepada pimpinan Pas, Gerakan dan MIPP, bekas Perdana Menteri itu mendakwa Pas telah bersetuju supaya jawatan Pengerusi PN dimansuhkan.
Bagaimanapun, Abdul Hadi menafikan dakwaan Muhyiddin dengan menegaskan hal pemansuhan jawatan Pengerusi PN tidak pernah dibincang dan dipersetujukan dalam pertemuan mereka pada 16 Januari lalu.
**media[3425443]**
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menjelaskan, Pas belum mengumumkan calon pengerusi baharu sebagai tanda hormat kepada Muhyiddin selagi proses peletakan jawatan itu belum muktamad secara rasmi.
Namun katanya, Pas sudah mempunyai senarai calon bersesuaian untuk dilantik sebagai Pengerusi PN baharu kelak.
“Sampai masa kita akan umumkan siapa calon Pas bagi menggalas jawatan itu nanti. Dalam perlembagaan PN tidak pernah menyatakan Pengerusi PN wajib dilantik dalam kalangan presiden parti-parti komponen.
“Cuma kalau Bersatu kata kena (lantik) presiden juga, tak apalah. Kita akan ketuai dengan dengan cara harmonilah berdasarkan persetujuan dan sokongan parti-parti yang ada,” katanya.
Menjelaskan asas keperluan Pas mengambil alih jawatan berkenaan, Tuan Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas menilai keperluan memperkukuh gerak kerja gabungan, selain mengambil kira dominasi kerusi Parlimen dan pentadbiran negeri yang diterajui Pas.
**media[3425377]**
Menurutnya, persepsi bahawa kepimpinan Pas menjejaskan sokongan bukan Melayu adalah tidak berasas kerana isu tersebut sudah wujud sejak PN diterajui kepimpinan terdahulu.
Kata beliau, Pas bersedia memimpin PN dengan pendekatan harmoni berasaskan persetujuan semua parti komponen serta memperkasakan peranan Majlis Presiden sebagai badan rujukan strategik.
“Tan Sri Muhyiddin sebelum ini memberi respons positif tanpa syarat.
“Kita mahu pengerusi diberi mandat penuh untuk menguruskan PN, manakala perkara berbangkit boleh dirujuk kepada Majlis Presiden,” jelasnya.
Tuan Ibrahim menegaskan, pengambilalihan jawatan bertujuan memperkukuh jentera PN secara menyeluruh bagi menghadapi cabaran Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang semakin hampir.