‘Reset politik’ belum diterjemah dalam barisan kepimpinan Wawasan

PUTRAJAYA - Gagasan ‘reset politik’ yang dibawa Parti Wawasan Negara (Wawasan) dilihat belum diterjemahkan menerusi barisan kepimpinan baharu parti itu apabila majoriti individu yang dilantik terdiri daripada figura politik berpengalaman serta penyokong lama kepimpinan sedia ada.

Ahli geostrategi dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan berkata, beliau pada awalnya agak teruja dengan penggunaan istilah ‘reset politik tanah air’ oleh kepimpinan parti berkenaan kerana ia memberi gambaran pembaharuan dalam landskap politik negara.

Bagaimanapun, katanya, jangkaan tersebut tidak dizahirkan melalui senarai kepimpinan yang diumumkan apabila tiada elemen baharu yang benar-benar ketara.

“Saya agak teruja dengan perkataan ‘reset’. Sesuatu yang memberi baharu tetapi kalau kita lihat barisan kepimpinan Wawasan yang baru dilantik, tiada yang baharu sebenarnya.

“Orang lama dikitar semula daripada penyokong Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Kalau nak kata adunan yang (golongan) muda, akademik dan ahli politik, tidak ada juga,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Azmi, terdapat beberapa pelantikan yang dianggap unik termasuk Tan Sri Rais Yatim sebagai pengerusi parti serta bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Ibrahim Abu Shah dalam struktur kepimpinan berkenaan.

Namun, beliau berpandangan kehadiran beberapa tokoh berkenaan masih belum mencukupi untuk mencerminkan pembaharuan sebenar atau membentuk identiti politik baharu bagi parti itu.

“Itu yang dikatakan agak unik yang mendekati konsep reset, tetapi hakikatnya tiada yang baharu. Tiada yang kita boleh teruja dengan kepimpinan itu. Biasa-biasa sahaja dan tiada perbezaan dengan struktur parti politik sedia ada,” ujarnya.

Mengulas aspek sokongan pengundi muda, Azmi berkata, Wawasan berdepan cabaran untuk menembusi kelompok berkenaan sekiranya terus didominasi pemimpin berpengalaman tanpa keseimbangan dengan generasi baharu.

Beliau berkata, keadaan itu berbeza dengan Parti Bersama pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli.

“Jika hendak dibandingkan dengan Parti Bersama yang dipimpin Rafizi, Parti Bersama lebih mudah untuk meraih sokongan pengundi muda (kerana) modus operandinya lebih menarik orang muda.

"Lebih 50 peratus ahlinya bukan daripada orang politik dan besar kemungkinan golongan ini adalah anak-anak muda,” ujarnya.

Azmi berkata, Wawasan perlu mempertimbangkan gabungan pemimpin muda, profesional dan tokoh akademik bagi membina identiti lebih segar serta menawarkan kelainan dalam landskap politik negara.