Dr Sam kini aset paling bernilai Pas - Nik Mawardi

SHAH ALAM - Penerimaan positif terhadap Pengerusi Perikatan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atau Dr Sam yang direkodkan dalam kajian terbaharu Merdeka Center memberi petunjuk bahawa Pas kini memiliki antara aset politik paling bernilai dalam kalangan pengundi Melayu menjelang PRU16.

Penganalisis sosiopolitik, Dr Nik Mawardi Mohamed berkata, kedudukan Menteri Besar Terengganu itu sebagai antara pemimpin Melayu paling diterima bukan sekadar mencerminkan populariti peribadi, sebaliknya menggambarkan kekuatan Pas dalam landskap politik semasa.

Menurutnya, dapatan tersebut menunjukkan Pas berjaya melahirkan pemimpin yang bukan sahaja mendapat sokongan penyokong tradisional parti, malah turut diterima kelompok pengundi yang lebih luas.

"Dalam kajian Merdeka Center itu, Dr Sam merekodkan kadar kepuasan 48 peratus dan ketidakpuasan 26 peratus dalam kalangan pengundi Melayu.

"Jika dibandingkan dengan pemimpin utama gabungan lain, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh 45 peratus kepuasan dan 51 peratus ketidakpuasan, manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencatatkan 31 peratus kepuasan berbanding 60 peratus ketidakpuasan," katanya dalam satu kenyataan.

Nik Mawardi berkata, angka tersebut menunjukkan Dr Sam berada dalam kelompok pemimpin yang mempunyai tahap penerimaan lebih baik berbanding beberapa tokoh politik nasional.

Menurut beliau, ketika ramai pemimpin dikaitkan dengan pertikaian politik dan polemik semasa, Dr Sam dilihat berjaya mengekalkan imej sebagai pentadbir yang lebih menumpukan kepada tadbir urus serta pembangunan negeri.

Katanya, faktor itu membantu membentuk persepsi positif dalam kalangan pengundi Melayu yang semakin menilai keupayaan, integriti dan kredibiliti seseorang pemimpin berbanding sekadar jenama parti.

Beliau berpandangan dapatan tersebut juga mempunyai implikasi lebih besar terhadap percaturan politik menjelang PRU16, khususnya melibatkan kedudukan Pas dalam sebarang rundingan atau penjajaran politik pada masa depan.

"Dalam mana-mana rundingan, asas paling penting ialah kemampuan untuk menang. Situasi semasa menunjukkan Pas mempunyai modal politik yang semakin kukuh, bukan sahaja melalui prestasi pilihan raya tetapi juga penerimaan terhadap pemimpin utamanya.

"Pas kini menguasai banyak kerusi Parlimen Melayu dan beberapa negeri strategik, manakala tokoh seperti Dr Sam berjaya membina imej lebih positif berbanding ramai pemimpin arus perdana lain," katanya.

Tambah beliau, perkembangan itu menunjukkan kekuatan politik masa depan tidak lagi boleh diukur berdasarkan sejarah atau jenama parti semata-mata, sebaliknya bergantung kepada penerimaan semasa rakyat terhadap seseorang pemimpin.