KRISIS yang melanda Perikatan Nasional (PN) ketika ini tidak lagi boleh dianggap sebagai episod terpencil atau sementara.
Sebaliknya, ia semakin jelas memperlihatkan kegagalan gabungan itu mengurus perbezaan dalaman, kepimpinan dan krisis keyakinan antara parti komponennya sekali gus menimbulkan persoalan tentang daya tahan PN sebagai sebuah gabungan politik nasional.
Kemelut bermula di Perlis susulan pertukaran kepimpinan Menteri Besar yang mencetuskan ketegangan antara parti-parti dalam PN. Situasi itu kemudian merebak ke peringkat pusat apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mengundur diri daripada jawatan Pengerusi PN, diikuti tindakan beberapa pemimpin utama parti Bersatu serta kepimpinan PN negeri meletakkan jawatan secara beramai-ramai.
Langkah tersebut menimbulkan tanda-tanya tentang hala tuju dan struktur kepimpinan PN, terutama apabila pengunduran itu berlaku tanpa penjelasan menyeluruh atau mekanisme penyelesaian dalaman yang jelas.
**media[3388019]**
Gabungan tindakan berkenaan memperlihatkan krisis PN bersifat struktural, bukan sekadar perbezaan pandangan sementara.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila Pas memutuskan untuk tidak menyertai barisan Exco Kerajaan Perlis walaupun kekal menyokong kepimpinan Menteri Besar. Keputusan itu dilihat mencetuskan persepsi ketidaksefahaman yang lebih mendalam antara Pas dan Bersatu, selain menimbulkan persoalan terhadap hubungan gabungan itu dengan Istana Perlis.
Masalah dalaman
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar berpandangan, peletakan jawatan beramai-ramai dalam PN merupakan kesinambungan langsung daripada pengunduran Muhyiddin sebagai Pengerusi PN, yang secara tidak langsung menyebabkan struktur kepimpinan gabungan itu seakan-akan terlerai.
**media[3388017]**
Menurut beliau, meskipun jawatan utama seperti Setiausaha Agung merupakan prerogatif Pengerusi, tindakan beberapa Pengerusi PN negeri termasuk di Johor, Perak dan Negeri Sembilan meletakkan jawatan perlu dibaca sebagai petunjuk jelas wujud masalah dalaman yang gagal ditangani secara kolektif.
Dalam konteks Perlis, Hisomudin menegaskan keputusan Pas tidak menyertai Exco negeri walaupun menyokong Menteri Besar merupakan langkah berisiko sekiranya tidak diurus dengan cermat, khususnya apabila Istana Perlis menekankan keperluan kestabilan pentadbiran negeri.
Beliau menjelaskan, istana melihat pelantikan Menteri Besar itu sebagai keputusan PN sebagai satu gabungan, bukan mewakili Pas atau Bersatu secara berasingan.
“Kegagalan mentafsir kehendak ini boleh menyebabkan Pas dilihat tidak selari dengan istana, sedangkan Tuanku mahu kestabilan politik negeri dipelihara,” katanya.
Mengulas hala tuju PN pasca krisis, Hisomudin menyuarakan kebimbangan terhadap isyarat Pas yang dilihat bersedia memimpin gabungan itu dalam keadaan struktur dalaman masih rapuh.
Menurut beliau, langkah tersebut berpotensi menjejaskan usaha PN melebarkan sokongan pengundi bukan Melayu, khususnya melalui penubuhan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).
“IPR diwujudkan sebagai jambatan menembusi segmen pengundi bukan Melayu, tetapi usaha ini berisiko terbantut jika kepimpinan PN dilihat terlalu dikuasai Pas. Persepsi ‘alergik’ terhadap Pas masih kuat,” katanya.
Beliau menambah, keadaan itu juga boleh menyebabkan parti-parti kecil atau bukan Melayu seperti MIC berfikir dua kali untuk bekerjasama dengan PN.
Hisomudin turut mengkritik kegagalan PN mengamalkan budaya musyawarah secara konsisten, termasuk isu kehadiran kepimpinan tertinggi dalam mesyuarat rasmi gabungan.
Menurutnya, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, jarang menghadiri mesyuarat PN dengan kehadiran terakhir dilaporkan ketika pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung.
“Selepas itu, Abdul Hadi hanya diwakili Timbalan Presiden Pas. Ini memberi isyarat seolah-olah PN bukan platform utama membuat keputusan strategik,” katanya.
Dalam masa sama, beliau bersetuju dengan kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, bahawa PN kini berada dalam keadaan ‘retak menanti belah’.
Hisomudin menegaskan Pas juga tidak boleh secara automatik mengambil alih jawatan Pengerusi PN tanpa persetujuan parti-parti komponen lain seperti Gerakan dan MIPP.
Tahap paling rapuh
Pandangan itu selari dengan analisis Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi yang menyifatkan hubungan Pas dan Bersatu kini berada pada tahap paling rapuh sejak penubuhan PN.
**media[3388018]**
Menurutnya, kedua-dua parti memperlihatkan ego politik tinggi — Pas dilihat cenderung menyalahkan rakan gabungan, manakala Bersatu pula memilih jalan keluar melalui peletakan jawatan beramai-ramai tanpa penjelasan atau permohonan maaf jelas.
“Peletakan jawatan tanpa akauntabiliti bukan penyelesaian politik. Ia hanya melemahkan kepercayaan dalam gabungan,” katanya.
Awang Azman berpandangan PN tidak akan runtuh serta-merta, namun semakin berfungsi atas kepentingan kelompok tertentu, dengan Pas dilihat semakin dominan manakala peranan Bersatu semakin terhakis.
Setakat ini, Pas, Bersatu dan kepimpinan PN pusat belum mengeluarkan kenyataan rasmi terperinci bagi menjawab kritikan penganalisis.
Namun, perkembangan semasa menunjukkan cabaran terbesar PN bukan datang daripada lawan politik, sebaliknya berpunca kegagalan mengurus ego, komitmen dan kepercayaan sesama sendiri iaitu faktor yang perlahan-lahan meruntuhkan kekuatan gabungan itu dari dalam.