PH amalkan politik baharu libatkan anak muda, bukan sekadar beri arahan - Maszlee Malik

ISKANDAR PUTERI – Golongan muda di Johor kini mahukan pendekatan politik yang lebih terbuka, matang dan memberi ruang kepada mereka untuk terlibat dalam proses membuat keputusan.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berpandangan, perubahan itu selari dengan trend politik baharu yang sedang berlaku di seluruh dunia, khususnya dalam kalangan Generasi Z (Gen Z), yang semakin berani menyuarakan pandangan terhadap pelbagai isu tempatan dan antarabangsa.

"Trend politik baharu ini merupakan trend Gen Z di seluruh dunia. Kita lihat bagaimana ia mempengaruhi landskap politik di pelbagai negara.

"Ini termasuk membawa kepada perubahan kerajaan di beberapa negara selain memperlihatkan solidariti anak muda terhadap isu Palestin dan Gaza serta pelbagai isu global yang lain.

"Di Johor mungkin anak muda tidak menunjukkan bantahan seperti di negara lain. Tetapi mereka mahukan politik yang menghargai pemikiran mereka, bersedia mendengar keluh-kesah mereka dan menjadikan mereka sebahagian daripada pembuat keputusan, bukan sekadar penerima keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama Sinar Harian selepas Program Maszlee Malik vs 41 anak muda di Plato Cafe Medini, di sini pada Jumaat malam.

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, pendedahan golongan muda kepada pelbagai platform media dan perbahasan antarabangsa menjadikan mereka lebih kritikal dalam menilai kepimpinan serta dasar kerajaan.

"Anak muda hari ini mengikuti perkembangan semasa di peringkat global dan mengharapkan budaya politik di negara ini bergerak ke arah yang lebih matang serta berasaskan idea," katanya.

Maszlee turut memuji keberanian golongan muda Johor yang aktif mengemukakan pandangan dan soalan sepanjang program dialog berkenaan.

Dalam debat yang berlangsung hampir dua jam, lebih 10 anak muda melontarkan pelbagai persoalan.

Antaranya pusat data, usaha membawa pekerja yang bekerja di Singapura kembali ke Johor, kemampuan PH mentadbir negeri Johor, kesediaan figura politik itu menjadi Menteri Besar Johor, menghormati Institusi Diraja sehingga cadangan membina jambatan ketiga menghubungkan Malaysia-Singapura.

"Sejujurnya saya sangat kagum dengan anak-anak muda yang hadir ke program ini. Cara mereka mengemukakan soalan, berbincang dan mendengar hujah amat mengagumkan.

"Paling penting mereka bersikap sangat tulen. Kita dapat rasakan mereka bercakap berdasarkan fikiran dan hati mereka sendiri.

"Tanggapan bahawa dialog atau perdebatan bukan budaya masyarakat Johor sebenarnya merupakan satu penghinaan kepada golongan muda di negeri ini.

"Bagi saya walaupun anak muda Johor kelihatan diam, mereka sebenarnya tidak berpuas hati. Mereka hanya menunggu masa dan ruang yang sesuai untuk menyuarakan pandangan mereka.

"Saya berharap lebih ramai anak muda Johor akan tampil dengan keberanian seperti ini. Mereka yang hadir pada program ini bukan dipilih atau dijemput secara khusus. Mereka datang atas kehendak sendiri dan sebahagian daripada mereka langsung saya tidak kenali sebelum ini," katanya.